Apple telah melancarkan siri iPhone 14. Sebanyak 4 model dikeluarkan, iaitu iPhone 14, iPhone 14 Plus, iPhone 14 Pro, dan iPhone 14 Pro Max. Dalam artikel kali ini, kami ingin merungkai 3 perkara yang tidak menarik tentang iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max.
Rekaan yang Sama
Apple telah melancarkan rekaan serba baharu bagi panel belakang pada tahun 2019 menerusi iPhone 11. Rekaan ini kemudiannya menjadi fenomena dan mula ditiru oleh pengeluar fon Android. Masa silih berganti, tahun berganti tahun, dan iPhone baharu juga dilancarkan setiap tahun. Namun, Apple tetap mengekalkan rekaan yang hampir serupa dari 2019 hinggalah 2022. Walaupun dilihat sebagai mengekalkan falsafah rekaan iPhone, perkara ini boleh juga disifatkan sebagai Apple ketandusan ilham untuk menghasilkan rekaan yang serba baharu dan lebih segar.
Masih Lightning, bukan USB-C
Apple masih lagi mengekalkan port pengecasan Lightning, yang merupakan salah satu identiti iPhone. Mereka masih berkeras untuk tidak menggunakan port USB-C yang lebih universal. Apple yang sebelum ini gigih bercakap berkaitan bumi yang lebih hijau, seharusnya menggunakan USB-C untuk iPhone, supaya sisa elektronik dan pelepasan karbon dapat dikurangkan.
Masih tiada Pengimbas Cap Jari
Produk terbaharu daripada Apple seperti MacBook masih dilengkapi dengan sekuriti Touch ID. Kali terakhir Apple memuatkan Touch ID adalah menerusi iPhone 8. Kemudian, iPhone X dan seterusnya, Touch ID hilang dari radar. Pada tahun 2022, sepatutnya Apple sudah pun menyediakan Touch ID di dalam skrin, seperti mana pengimbas cap jari terbina di dalam skrin yang terdapat pada kebanyakan fon Android. Dengan keberadaan Touch ID dan Face ID, ia memberi 2 pilihan sekuriti biometrik kepada pengguna iPhone, bukan hanya 1 sekuriti biometrik Face ID.