Xpert Gadget Mobile Phone Repair Specialist

AKG: Jenama Pakar Audio yang Dibeli Samsung

Share this :

AKG adalah sebuah jenama pakar audio, atau nama penuhnya AKG Accoustics. Pada asalnya, AKG dijenamakan sebagai Akustische und Kino-Geräte Gesellschaft m.b.H sebelum dijenamakan semula menjadi AKG. Jenama ini diasaskan oleh 2 orang usahawan, Dr. Rudolf Görike dan Ernest Plass di Vienna, Austria pada tahun 1947. Jenama ini merupakan salah sebuah jenama di bawah Harman, yang juga merupakan pakar audio.

Pada asalnya, syarikat ini menjalankan perniagaan pembekalan alat-alat keperluan panggung wayang seperti projektor, meter lampu, dan pembesar suara. Kemudian, perniagaan AKG berkembang dan meluas sehingga menghasilkan produk-produk audio seperti hon kereta, mikrofon, interkom, dan sebagainya. Mikrofon pertama yang dihasilkan oleh AKG digunakan di stesen radio, teater, dan kelab muzik jazz.

Pada tahun 2016, AKG memutuskan untuk menutup ibu pejabat di Vienna yang menempatkan pusat kejuruteraan dan pengilangan, dan berpindah ke California, Amerika Syarikat. Setahun selepas berpindah dari Vienna ke California, keseluruhan syarikat Harman/Kardon yang memiliki AKG telah dibeli oleh Samsung. Jumlah belian seluruh saham dan teknologi AKG adalah bernilai 8 bilion USD.

Kemudian, setelah Samsung membeli Harman/Kardon, Samsung mengambil peluang ini untuk memuatkan earphone Samsung Tuned by AKG buat pertama kalinya bersama Samsung Galaxy S8. Pemberian earphone ini diteruskan sehingga Galaxy S10. Pada pelancaran Galaxy Note10, Samsung mula memberikan earphone ini dengan sambungan USB-C, memandangkan Galaxy Note10 sudah ketiadaan bicu audio 3.5mm.

Bermula iPhone 12, Apple tidak lagi menyertakan kepala pengecas dan juga EarPods. Ramai menjangkakan Samsung akan mengikut jejak langkah Apple, meskipun Samsung pernah menyindir tindakan Apple ini di media sosial. Telahan orang ramai tentang perkara ini benar belaka. Bermula Galaxy S21, Samsung mula untuk tidak menyertakan earphone dan kepala pengecas di dalam kotak, walaupun tidak tahu apa alasan relevan mereka.

Amat sayang sekali apabila Samsung telah pun memiliki teknologi AKG ini, namun tidak menyertakan earphone Samsung Tuned by AKG ini. Dengan harga yang premium, pelanggan lebih berhak untuk memiliki earphone Samsung Tuned by AKG bersama-sama pembelian Galaxy S21.

Share this :

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *