XPERT GADGET

Always-On-Display Mungkin akan Hadir pada iPhone 14 Pro

Share this :

Fungsi Always-on-Display atau juga dikenali sebagai AOD adalah satu fungsi yang amat berguna yang telah lama wujud pada fon-fon Android. Bagi yang masih belum kenal akan fungsi ini, fungsi ini adalah ciri berguna yang memaparkan maklumat notifikasi dan waktu semasa skrin dimatikan. Maka, pengguna tidak perlu lagi menghidupkan skrin untuk melihat notifikasi yang masuk ke dalam fon.

Fungsi ini sebenarnya telah lama hadir dalam fon-fon Android sejak lebih 5 tahun lalu. Jenama-jenama seperti LG dan HTC yang kerap menggunakan skrin jenis LCD turut menyediakan AOD pada fon mereka. Begitu juga dengan jenama-jenama yang kerap menggunakan skrin jenis OLED seperti OnePlus dan Samsung, mereka juga turut menyertakan AOD pada fon mereka agar pengguna lebih mudah melihat notifikasi tanpa menghidupkan skrin.

Pun begitu, fungsi penting yang sekian lama ditunggu oleh pengguna iPhone ini tidak kunjung tiba walaupun sudah dinantikan bertahun-tahun lamanya. Bahkan, ketiadaan fungsi ini menjadi modal ejekan oleh pengguna Android ke atas iPhone. Masakan tidak, iPhone yang berharga lebih RM4000 tidak pernah ada fungsi asas ini, maka sindiran dan ejekan ini dilihat agak wajar.

Menurut wartawan Bloomberg, Mark Gurman, akhirnya Apple bakal menyediakan fungsi ini untuk iPhone 14 Pro menerusi acara gilang-gemilang Apple World Wide Developers Conference (WWDC). Fungsi ini juga dikatakan bakal hadir pada iPhone 13 Pro, yang mana iPhone 13 Pro menggunakan panel yang mempunyai teknologi LTPO. Teknologi LTPO ini dilihat dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga bateri apabila fungsi AOD ini dihidupkan.

Share this :

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *