Desas-desus hayat sambungan Lightning akhirnya terjawab. Apple bakal menghasilkan iPhone dengan port USB-C, memandangkan undang-undang Kesatuan Eropah (EU) telah pun mengharamkan penggunaan selain port USB-C di negara EU menjelang 2023.
Perkara ini telah pun disahkan oleh ketua pemasaran Apple, Greg Joswiak menerusi The Wall Street Journal. Menurut Joswiak lagi, walaupun pihak Apple tidak menyukai keputusan ini, mereka harus akur dengan perundangan EU yang telah mengharamkan port selain USB-C, termasuklah Lightning.
Pun begitu, Joswiak tidak menjawab sebarang kemungkinan untuk iPhone dengan port Lightning yang dijual di luar pasaran Eropah. Namun, perkara ini dilihat tidak akan dilaksanakan oleh Apple, walaupun tidak mustahil untuk dilakukan.
Sambungan Lightning mula diperkenal pada pelancaran iPhone 5, iaitu pada tahun 2012. Sejak itu, port Lightning mula digunakan bagi menggantikan port 30-pin yang lebih lebar dan besar. Sambungan Lightning ini turut digunakan pada iPod dan iPad.
Sambungan universal USB-C dilihat bakal memberikan impak terhadap pengurangan sisa elektronik dalam masa beberapa tahun. Perkara ini seharusnya disambut baik oleh semua pihak. Pengguna iPhone juga boleh lah meminjam kabel pengguna Android jika tertinggal kabel!