Kita sering melihat lot-lot kedai yang menjual produk Apple di pusat beli-belah. Namun, kedai-kedai tersebut bukanlah kedai rasmi daripada Apple sendiri. Sebaliknya kedai-kedai tersebut adalah lantikan daripada Apple untuk menjual produk-produk Apple.
Di negara jiran misalnya di Singapura, terdapat beberapa kedai rasmi daripada Apple. Contohnya kedai rasmi Apple Orchad Road dan Apple Marina Bay Sands. Di Thailand pula, Apple ICONSIAM dan Apple Central World adalah 2 kedai rasmi milik Apple. Kelihatan janggal apabilla 2 negara bersebelahan Malaysia terdapat beberapa kedai rasmi Apple, dan di Malaysia masih lagi belum ada khabar angin tentang pembukaan kedai rasmi Apple ini.
Tatkala peminat Apple masih kempunan untuk melihat kedai rasmi Apple di Malaysia, Apple telah pun mengorak langkah untuk membuka kedai rasmi mereka di India, dan pencarian pekerja sudah pun digerakkan. Terdapat beberapa jawatan dibuka di beberapa tempat, antaranya pakar teknikal, ketua penjaga stor, pengurus senior, pakar perniagaan, dan beberapa jawatan lain.
Pengilangan 30% iPhone di India turut mendorong Apple untuk membuka kedai rasmi mereka di sana, di samping sambutan hebat daripada peminat Apple di India. iPhone 13 juga menjadi fon paling laris yang dijual di India pada suku ketiga 2022. Perkara ini turut menjadi batu loncatan mengapa Apple seharusnya membuka kedai rasmi mereka di India.
Apple bakal membuka gedung mereka di India dalam masa beberapa bulan akan datang, namun lokasi gedung mereka masih menjadi tanda tanya.