Pada asalnya, Asus adalah sebuah jenama yang memfokuskan kepada penghasilan PC, komputer riba, dan perkakasan komputer seperti papan induk. Tidak terkecuali adalah komputer riba yang dijenamakan sebagai ROG (Republic of Gamers) yang memfokuskan kepada ciri-ciri ‘gaming’ dalam sesebuah komputer riba.
Kemudian, syarikat ini mengorak langkah pula di dalam arena telefon pintar dengan penjenamaan Asus ZenFone. Pada tahun 2018, Asus telah menjadi pelopor dalam telefon ‘gaming’ Android dengan memperkenal ASUS ROG Phone, sebagai satu langkah berani di sebalik pengalaman mereka menghasilkan komputer riba Asus ROG.
Asus ROG Phone kekal mendominasi telefon pintar ‘gaming’ meskipun saingan hadir dari segenap penjuru seperti kehadiran jenama-jenama seperti Black Shark, Lenovo Legion, dan lain-lain.
Terbaru, Asus telah melancarkan konsol permainan video yang diberi nama ROG Ally. Konsol ini bukanlah seperti Play Station mahupun Xbox. Sebaliknya peranti ini adalah konsol mudah-alih yang boleh dimain di mana-mana, yang boleh dibawa ke mana-mana. Ciri-ciri seperti ini tentu sekali mengingatkan kita kepada Steam Deck, yang membawa ciri-ciri yang sama. Dengan kata lain, ROG Ally adalah pencabar buat Steam Deck.
ROG Ally ini dijalankan menggunakan Windows 11, cip grafik ROG X6 Mobile GPU, cip APU daripada AMD, dan skrin beresoulusi 1080p dengan kadar segar semula 120Hz. Setakat ini, spesifikasi lain masih lagi menjadi teka-teka, dan Asus masih lagi belum mendedahkan keseluruhan spesifikasi ROG Ally ini.