Mengeluarkan fon edisi terhad adalah salah satu cara untuk meningkatkan permintaan terhadap sesuatu produk. Produk edisi terhad ini juga haruslah mempunyai ciri-ciri unik yang tiada pada pesaingnya, supaya produk ini kekal relevan untuk ‘dikejar’ oleh peminat dan pengumpul barang-barang edisi terhad.
Terbaru, ASUS dengan kerjasama Warner Bros telah melancarkan edisi terhad ASUS ROG Phone 6 Edisi Batman. Fon ini mengekalkan rekaan asal ROG Phone 6 yang ditambah dengan tema Batman luar dan dalam. Tema Batman yang diketengahkan pada fon ini adalah animasi ketika menghidupkan fon, live wallpaper, animasi pengecasan, Always-on-Display, kesan bunyi, dan logo Batman pada pengimbas cap jari.

Selain itu, kerangka pelindung juga membawa rekaan Batman padanya, yang memaparkan lukisan Batman pada bahagian luar, dan novel grafik Batman pada bahagian dalam.
Fon ini dikuasakan oleh cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1 untuk pasaran Amerika Syarikat, manakala cip pemproses MediaTek Dimensity 9000+ digunakan untuk pasaran global. Storan UFS 3.1 sebesar 256GB digunakan pada fon ini untuk menjamin prestasi yang mantap, di samping RAM sebesar 12GB dipadankan dengannya. Dari segi bateri pula, ASUS ROG Phone 6 ini dimuatkan dengan bateri sebesar 6000mAh yang mampu menerima kuasa pengecasan 65W. Apa yang menarik, fon ini mengekalkan bicu audio 3.5mm, bagi memudahkan pengguna menggunakan aksesori audio semasa bermain permainan video.