Sekitar tahun 2012, perang Samsung-iPhone memang sangat hangat diperkatakan. Dari segi syarikat, kedua-duanya saling saman-menyaman. Bahkan, terdapat berita yang mengatakan Samsung akan membayar saman sebanyak $1.05 bilion dengan menggunakan duit syiling. Namun, berita tersebut didapati tidak benar, dan sekadar menjadi ‘penyedap cerita. Dari segi netizen pula, peminat Samsung sering berbalah dengan peminat iPhone di internet meskipun kedua-dua belah pihak tidak dibayar untuk saling bercakaran.
Fon Samsung pada tahun sekitar 2012 memang tidak dapat dinafikan sebagai fon yang amat lembab. Hal ini terjadi kerana sistem operasi Samsung TouchWiz berasaskan Android yang sangat berat disebabkan pengubahsuaian yang terlalu banyak. Maka, terdapat kekeliruan pada peminat iPhone pada masa itu, mereka mempunyai tanggapan bahawa yang lembab itu adalah Android. Walhal, yang lembab itu adalah Samsung TouchWiz! Buktinya, sistem Android tulen tanpa pengubahsuaian yang digunakan pada Google Nexus pada masa itu tidak menemui masalah seperti yang dialami oleh fon Samsung yang menggunakan sistem operasi TouchWiz.
Sekarang ini, Samsung sudah tidak lagi menggunakan sistem operasi TouchWiz, sebaliknya sedang menggunakan sistem operasi Samsung OneUI yang berasaskan Android. Sejarah perjalanan Samsung dalam mengubahsuai perisian Android ini pernah melalui liku-liku jalan yang berlopak. Samsung TouchWiz sering dikritik kerana sistemnya yang amat berat dan dimuatkan dengan gimik-gimik yang tidak diperlukan oleh pengguna. Pada tahun 2016, Samsung Experience diperkenal bagi menggantikan TouchWiz. Namun, tidak banyak perubahan dari segi kelancarannya. Pada tahun 2018 pula, OneUI diperkenal dengan antaramuka serba baharu. OneUI ini dikatakan sistem operasi Android yang telah diubahsuai yang terbaik, atas faktor-faktor yang konkrit. OneUI dikatakan terbaik kerana memberikan tampalan sekuriti dengan kerap, dan amat pantas dalam mengemaskini sistem operasi Android yang telah dilepaskan oleh Google. Bahkan, Samsung adalah fon bukan Pixel terawal yang mendapat kemaskini Android 12.
Bukan setakat itu, OneUI dikatakan sistem operasi Android terbaik adalah kerana stabilan dan kelancarannya. Pendek kata, OneUI telah direka, dibentuk, dan diadun untuk keselesaan, kepantasan, dan mesra pengguna. Masalah lembab dan tidak responsif tiada lagi dalam kamus sistem operasi Samsung ini, kerana mereka telah belajar daripada kegagalan kejuruteraan perisian yang pernah dibina pada Samsung TouchWiz.
Maka, sebilangan peminat iPhone yang memanggil fon Android, Samsung khususnya dengan panggilan “Hangdroid” atau “LagDroid” adalah pengguna gajet yang berada di dalam dimensi yang keliru. Bahkan, menyamakan Android dengan TouchWiz juga adalah satu kekeliruan yang fatal. Kekeliruan ini juga turut menjadi lebih berat, apabila sebilangan pengguna iPhone membandingkan iPhone dengan fon Android yang berbeza kelasnya. Misalnya, mereka membandingkan iPhone 13 Pro Max dengan Samsung GALAXY Y. Dari segi perisian khususnya, sudah terlalu banyak perubahan pada sistem operasi Android itu sendiri, yang menyumbang kepada kestabilan, kelancaran, dan kepantasan menggunakan fon Android.