Rekaan kamera di dalam ‘petak’ bukanlah pertama kali diperkenalkan pada iPhone. Sebaliknya, kamera seperti ini buat pertama kalinya diperkenal pada Huawei Mate 20 pada tahun 2018. Namun, rekaan kamera di dalam ‘petak’ ini ditempatkan di tengah-tengah pada belakang fon.
Kemudian, iPhone 11 hadir pada penghujung tahun 2019, dengan rekaan kamera di dalam ‘petak’, namun ditempatkan pada bucu kiri atas pada belakang fon. Rekaan seperti ini terus menjadi fenomena sampai ke hari ini, sehingga terlalu banyak jenama-jenama fon Android meniru rekaan ini, baik pada fon kelas permulaan, kelas pertengahan, dan juga kelas flagship.
Saban tahun, iPhone tetap menggunakan rekaan kamera seperti ini sejak iPhone 11 hinggalah ke iPhone 13. Apa yang membezakan iPhone 11 hingga iPhone 13 dari segi rekaan kamera adalah kedudukan kamera, dan saiz sensor kamera iPhone. Semakin besar sensor kamera tersebut, makin baiklah penghasilan imej dan juga video. iPhone 13 Pro misalnya, mempunyai saiz kamera yang lebih besar berbanding iPhone 11 Pro.
iPhone 14 Pro yang bakal dilancarkan hujung tahun ini sudah pun tertiris banyak kali. Antaranya adalah rekaan kamera iPhone 14 Pro ini. Menurut apa yang ditiriskan di laman Twitter misalnya, iPhone 14 Pro masih menggunakan kamera di dalam petak seperti sebelum ini dengan saiz sensor kamera yang lebih besar berbanding sensor kamera iPhone 13 Pro.
Bukan saiz sensor kamera sahaja turut dibesarkan, malah bonjolan kamera pada iPhone 14 Pro turut akan menjadi lebih besar dan tebal. Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh iPhone tahun 2022 kali ini buat julung kalinya menggunakan saiz megapixel yang lebih besar, iaitu 48MP. Megapixel yang lebih besar mengakibatkan modul kamera iPhone bertambah dari segi saiznya.
Maka, pengguna iPhone 14 Pro harus bersiap sedia untuk mendapatkan kerangka (case) yang lebih tahan lasak dan melindungi bonjolan kamera itu sebaiknya. Kerana kita pun tahu, kos baik pulih iPhone tidaklah murah, dan sebaiknya dibaikpulih di pusat servis Apple berdaftar sekiranya iPhone tersebut masih dilindungi jaminan daripada Apple.