MEIZU yang merupakan anak syarikat Geely telah melancarkan siri MEIZU 20. Di samping itu, Flyme Auto juga diperkenal dalam pelancaran ini, iaitu perisian di dalam kereta yang serba baharu dan moden.
Apa yang menarik, Flyme Auto ini diintegrasikan bersama-sama dengan peranti yang menggunakan perisian Flyme 10, yang mana siri MEIZU 20 adalah peranti yang menggunakan perisian ini. Apabila perisian Flyme Auto ini diintegrasikan dengan perisian Flyme 10, pengguna boleh menggunakan aplikasi di dalam fon secara langsung di skrin kereta.
Di sebalik paparan di dalam kereta, perisian ini turut dipadankan dengan perkakasan yang berkuasa tinggi seperti cip pemproses Snapdragon 8 Gen 2 bagi memastikan perisian ini berjalan dengan lancar dan pantas.
Turut menjadi persoalan adalah, adakah perisian Flyme Auto ini akan diintegrasikan di dalam kereta-kereta Proton? Ini adalah kerana Proton juga turut menjadi sebahagian daripada keluarga Geely, di samping jenama-jenama kereta terkemuka seperti Polestar, Lotus, Volvo, dan lain-lain. Sekiranya Flyme Auto turut diintegrasikan di dalam kereta Proton, keadaan ini sudah pasti amat menarik sekali.