Tahun lalu, peminat-peminat gajet, lebih-lebih lagi peminat Google Pixel amat kecewa dengan Google Pixel 5. Kerana fon ini bukanlah sebuah fon flagship, sebaliknya hanya sebuah fon dalam kelas pertengahan-premium. Bahkan, sebelum pelancaran Google Pixel 5, Marc Levoy yang merupakan jurutera di sebalik tabir bagi kamera Google Pixel telah meninggalkan syarikat itu pada Mei 2020 akibat kecewa dengan Google.
Tahun ini, Google begitu ‘all-out’ dengan peranti mereka menerusi Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Bukan lagi gimik seperti Pixel 5, sebaliknya Pixel 6 adalah peranti flagship sebenar yang bangkit dari kekecewaan peminat dan kegagalan Google untuk memenuhi kehendak peminat Google Pixel
Dari segi perisian, tak perlu mengadu banyak. Kerana perisian Pixel 6 ini sudah dimuatkan dengan perisian terbaru daripada Google sendiri, iaitu Android 12. Apa yang lebih istimewa, Pixel 6 ini akan menyokong kemaskini tampalan sekuriti sehingga 5 tahun. Namun, kemaskini Android yang dijanjikan untuk Pixel 6 ini hanya merangkumi 3 tahun kemaskini. Pasti ramau yang mengharapkan Google memberikan kemaskini yang lebih lama, kerana peranti ini adalah peranti yang dihasilkan oleh Google sendiri. Jika dibandingkan dengan Apple, iPhone boleh menerima kemaskini iOS sehingga 5 tahun.
Antara perubahan ketara yang terdapat pada perkakasan dalaman Pixel 6 ini adalah modul kamera fon ini. Sebelum ini, generasi Google Pixel hanya dimuatkan dengan kamera resolusi kecil sahaja, iaitu tidak melebihi 16MP. Kali ini, sensor sebesar 50MP telah dimuatkan di dalam fon ini. Namun, harus difahami, resolusi kamera bukanlah segalanya. Lagi pun, Google Pixel telah pun membuktikan mereka mampu menghasilkan kamera terbaik dalam dunia telefon pintar meskipun menggunakan kamera dengan resolusi sebesar 16MP pada Google Pixel 5.
Antara perubahan ketara yang lain adalah, Pixel 6 tidak lagi menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon seperti model-model Google Pixel sebelum ini. Sebaliknya, Pixel 6 dikuasakan dengan cip pemproses Google Tensor. Namun begitu, cip Google Tensor ini bukanlah dihasilkan oleh Google, sebaliknya dikilangkan oleh Samsung mengikut spesifikasi yang dimahukan oleh Google. Cip ini bersaiz 5nm, dan mampu memberikan kuasa terbaik untuk bersaing dengan cip Apple A15 Bionic dan cip Snapdragon 888.
Dari segi bateri, Pixel 6 dimuatkan dengan bateri sebesar 4614mAh, dengan teknologi pengecasan pantas USB Power Delivery 30W, dan pengecasan pantas tanpa wayar 21W. Manakala Pixel 6 Pro pula ‘disumbat’ dengan bateri sebesar 5003mAh dan dipadankan dengan teknologi pengecasan pantas USB Power Delivery 30W, dan pengecasan pantas tanpa wayar 23W.
Mengikut apa yang telah dipersembahkan oleh Google melalui perkakasan dalaman dan rekaan luaran, ramai peminat gajet ‘terliur’ dengan apa yang telah disampaikan oleh Google. Namun begitu, Pixel 6 ini masih lagi tidak dijual di pasaran tempatan. Jika berminat, anda boleh dapatkan Pixel 6 ini daripada penjual tidak rasmi yang mengimport fon ini ke dalam pasaran Malaysia.