XPERT GADGET

Google Pixel Fold: Apa yang Perlu Anda Tahu?

Share this :

Desas-desus Google akan melancarkan fon-boleh-lipat ini telah kedengaran sejak tahun lalu lagi. Tahun ini, desas-desus tersebut telah menjadi kenyataan beberapa hari lalu, apabila Google melancarkan fon-boleh-lipat pertama mereka menerusi Google I/O di Shoreline Amphitheartre, California, Amerika Syarikat.

Spesifikasi yang ditawarkan pada Google Pixel Fold ini tidak kurang hebatnya, apabila Google memuatkan cip pemproses paling mantap keluaran Google, iaitu Tensor G2, yang boleh dikatakan setara dengan Snapdragon 8 Gen 2. Namun, menurut nanoreview.net, Snapdragon 8 Gen 2 dilihat mempunyai lebih banyak kelebihan dari segi skor dalam beberapa aspek, antaranya dari segi prestasi CPU, kecekapan bateri, dan prestasi ketika bermain permainan video.

Apa yang istimewa tentang fon ini adalah, fon ini boleh dilipat rapat tanpa menampakkan kesan renggangan seperti yang kelihatan jelas pada Samsung Galaxy Fold4. Fon ini bersaiz sama seperti Google Pixel yang biasa apabila dilipat, iaitu bersaiz 5.8″. Manakala fon ini akan menjadi saiz 7.6″ apabila lipatan dibuka. Pixel Fold menggunakan skrin jenis OLED 120Hz, dengan kecerahan maksimum 1450 nits.

Fon ini dimuatkan dengan bateri sebesar 4821mAh, dan menyokong teknologi pengecasan pantas USB PD 30W. Selain itu, fon ini turut menyokong pengecasan tanpa wayar.

Dengan rekaan fizikalnya yang boleh dilipat, adalah agak mustahil (buat masa ini) untuk menghasilkan fon yang mempunyai ketahanan kalis air dan debu IP68. Oleh itu, Google menawarkan tahap ketahanan IPX8 yang boleh dikatakan baik untuk Pixel Fold ini. IPX8 adalah tahap ketahanan yang tahan akan air dan tiada ketahanan terhadap debu.

Walaupun Google Pixel sudah pun menjangkau ke generasi ke-7, dan sudah pun menghasilkan fon-boleh-lipat, jenama ini masih lagi enggan menembusi pasaran tempatan meskipun jenama ini mempunyai peminatnya yang tersendiri di Malaysia. Diharapkan pihak Google mempertimbang untuk menjual peranti di Malaysia, agar peranti ini boleh didapati dengan mudah dan lebih murah.

Share this :

Leave a Comment

Your email address will not be published.