Honor adalah sebuah jenama yang asalnya sebuah anak syarikat Huawei. Kini Honor telah berpisah dari Huawei sebagai jalan keluar permasalahan dengan sekatan yang dikenakan ke atas Huawei. Honor kini merupakan jenama tunggal yang membawa haluan sendiri, dan telah melancarkan beberapa buah peranti selepas berpisah dengan Huawei.
Fon flagship terbaru keluaran Honor adalah Honor 50 dan Honor 50 Pro. Rekaan fon ini amat mirip dengan Huawei P50 dan Huawei P50 Pro, dengan rekaan kamera yang ditempatkan pada kedudukan yang sama, dan rekabentuk kamera juga kelihatan salin tak tumpah. Fon ini dilancarkan pada pertengahan tahun ini, iaitu pada 16 Jun 2021. Meskipun rekaan Honor 50 dengan Huawei P50 dikatakan mirip, ada perkara yang membezakan kedua-duanya. Honor 50 mendapat sentuhan yang nampak sedikit feminin, dengan corak tompokan yang berkilau. Manakala Huawei P50 kelihatan lebih ringkas dan tampak lebih profesional.
Terkini, pihak Honor telah melancarkan Honor 50 dan Honor 50 Pro dengan warna dan corak baru yang dipanggil sebagai ‘Honor Code’. Honor Code ini adalah corak pada panel belakang Honor 50 dan Honor 50 Pro yang dicetak secara rawak yang berwarna seakan-akan perak. Tulisan ‘Honor’ ini berkilauan mengikut pencahayaan, membuatkan warna ini lain daripada yang lain.
Pihak Honor hanya mengeluarkan 1500 unit Honor 50 dan Honor 50 Pro dengan corak Honor Code ini. Sama sekali menjadikan corak ini adalah edisi terhad. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Honor 50 dan Honor 50 Pro Honor Code ini bakal menembusi pasaran global atau sebaliknya.
Bagi pasaran Malaysia pula, sudah hampir pasti Honor 50 ini tidak akan dijual di Malaysia. Mengikut apa yang tertera di laman sesawang rasmi Honor Malaysia, pihak Honor Malaysia sudah tidak lagi menjual peranti seperti telefon pintar. Sebaliknya, Honor Malaysia telah pun mengubah model bisnes mereka dengan menjual komputer riba, peranti boleh-pakai (wearables) seperti jam tangan pintar, dan fon telinga.