Xpert Gadget Mobile Phone Repair Specialist

HTC One M7: Fon yang Merubah Lanskap Telefon Pintar

Share this :

HTC One M7 adalah fon flagship keluaran HTC pada tahun 2013. Dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 600, bateri 2300mAh, RAM 2GB, dan pilihan storan dalaman 32GB atau 64GB. Fon ini adalah harapan HTC untuk bangkit dan bersaing bersama nama-nama besar lain pada ketika itu termasuk Samsung dan Sony.

Fon ini bukan sekadar sebuah fon flagship, sebaliknya sebuah fon yang banyak merubah lanskap telefon pintar, khususnya fon Android. Banyak perubahan dibawa pada fon ini, lebih-lebih lagi pada rekaan tubuh fon ini. Rekaan HTC One M7 yang sangat seksi ini dikepalai oleh juru reka perindustrian, Scott Croyle. Beliau bertanggungjawab dalam memberikan sentuhan moden dan serba baharu pada peranti-peranti pintar.

Sebagai contoh, pada zaman tersebut kita dapat melihat betapa bosannya rekaan fon pada ketika itu. Fon Samsung GALAXY misalnya membawakan rekaan yang sangat bosan, rekaan yang sama, dan plastik murah yang kelihatan langsung tidak premium pada tanda harga premium. Rekaan HTC One M7 membawa rekaan fon kepada dimensi yang lain. Rekaan tubuhnya diperbuat daripada logam, sama sekali menjadikan fon ini sebagai fon Android pertama dengan kerangka aluminium. Sedap dipegang, enak dilihat. Malah, jika fon ini dibelek pada tahun 2021, fon ini tetap kelihatan masih cantik dan tidak membosankan.

Bukan itu sahaja, fon ini turut dimuatkan dengan pembesar suara stereo, yang mana tiada pada mana-mana telefon pintar. Pembesar suara ini bukan sahaja lantang, malah diperkaya dengan bass dan amat lunak didengar sebagai halwa telinga.

Setelah HTC One M7 dilancarkan, banyak fon mula mengikut jejak langkah HTC dengan keluar daripada kepompong rekaan fon yang sama. Bahkan, ada juga yang menjadikan garisan antena pada belakang HTC One M7 sebagai inspirasi pada fon masing-masing. Tidak kurang juga, pengeluar fon-fon Android mula menggunakan material yang lebih premium seperti aluminium dan kaca.

Namun, segalanya tinggal sejarah. Inovasi HTC hanyalah tinggal kenangan. Hakikatnya kini, HTC adalah sebuah jenama yang bagaikan mayat hidup dan hidup segan mati tak mahu. Kejayaan membawa inovasi dimatikan dengan kegagalan HTC untuk memasarkan fon mereka dengan baik. Maka, mereka tenggelam dibawa arus persaingan.

Share this :

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *