Lebih 10 tahun lalu, HTC begitu terkenal dengan fon premium mereka, dengan penawaran harga ‘tak nak kalah’. Sesiapa yang memiliki fon jenama HTC adalah ‘orang kaya’, kerana harga fon HTC adalah lebih kurang sahaja dengan harga iPhone. Pun begitu, harga yang mahal bukan persoalan kerana HTC menawarkan peranti yang berkualiti tinggi.
Kemudian, HTC perlahan-lahan tenggelam kerana dibawa arus persaingan. Antara cabaran yang harus dilalui adalah bersaing dengan peranti-peranti dari China yang menawarkan harga yang jauh lebih murah. HTC juga harus bersaing dengan fon harga premium seperti Samsung yang merupakan gergasi yang mempunyai banyak wang untuk mengukuhkan jenama Samsung.
HTC One dengan kod nama M7 mendapat sambutan yang amat baik kerana merubah lanskap peranti Android. HTC One (M8) dilancarkan setahun selepas itu juga menerima sambutan hangat, dengan rekaan yang lebih segar dan unik. HTC melancarkan HTC One M9 dan One M9+ pada tahun 2015 tetapi mendapat sambutan yang cukup hambar. Fon ini mempunyai rekaan yang hampir sama dengan generasi-generasi sebelumnya dan spesifikasi yang ditawarkan tidak begitu enak untuk dimiliki. Hasilnya, 2015 adalah tahun yang suram buat HTC dan peminatnya. Puncanya adalah One M9 dan One M9+, dan juga Scott Croyle yang merupakan pereka bagi HTC One dan HTC One (M8) telah berhijrah ke syarikat lain untuk menukar angin.
HTC cuba bangkit dengan HTC 10, namun HTC 10 tidak mendapat sambutan yang begitu baik meskipun fon ini menawarkan spesifikasi yang baik dan rekaan yang unik. Fon seterusnya seperti HTC U11 dan HTC U12+ mendapat nasib yang sama dan mengharungi detik-detik suram lagi hambar. Semuanya disumbang oleh sikap HTC yang tangkai jering untuk melabur dalam pemasaran dan pengiklanan, di samping saingan daripada jenama-jenama dari China. Hasilnya, HTC U12+ adalah peranti flagship terakhir keluaran HTC hingga ke hari ini.
Ramai peminat yang menanti kehadiran semula HTC. Namun, apa yang HTC lakukan cukup mengecawakan. HTC pernah hadir dengan HTC U20 Pro 5G yang disangka sebagai fon flagship. Hakikatnya terungkai apabila fon ini dilancarkan secara rasmi. HTC U20 Pro 5G hanyalah sebuah peranti kelas pertengahan dengan ketiadaan ciri-ciri istimewa seperti pesaingnya.
Terbaru, gambar HTC U23 Pro 5G tertiris. Menurut gambar tersebut, dapat kita simpulkan rekaan HTC masih lagi di takuk lama. Bahkan mereka masih menggunakan rekaan fon tahun 2019 yang kelihatan ‘sungguh semalam’. Kemungkinan fon ini dimuatkan dengan Android 13, RAM 8GB, storan 256GB, dan bateri 4600mAh. Fon ini berkemungkinan dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm yang ditempatkan di bahagian atas fon.