Semalam Huawei telah melancarkan 2 buah peranti flagship mereka, iaitu Huawei P50 Pro dan Huawei P50 Pocket. Pelancaran ini sama sekali menjadikan Malaysia antara negara terawal untuk menjadi pusat jualan dua fon berkuasa tinggi lagi unik ini.
Namun, apa yang menjadi persoalan adalah harga bagi peranti ini. Harga yang ditawarkan adalah RM5999 untuk versi 8GB RAM + 256GB ROM, dan RM7999 untuk versi 12GB RAM + 512GB ROM. Dengan penawaran harga yang terlalu mahal ini, pasti pengguna berfikir panjang untuk membeli peranti boleh-lipat ini.
Tambahan pula, Huawei P50 Pocket ini tidak lagi menggunakan sistem operasi Android, sebaliknya menggunakan sistem operasi ciptaan mereka sendiri, iaitu HarmonyOS. Selain daripada tidak dijalankan dengan sistem operasi Android, Huawei P50 Pocket juga tidak dilengkapi dengan sistem GMS (Google Mobile Services), yang mana kebanyakan pengguna Android amat bergantung pada sistem ini. Dengan ketiadaan Android dan GMS, harga setinggi RM5999 dan RM7999 dilihat sebagai harga yang tidak munasabah, dan tidak berdaya saing.
Jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Z Flip3 5G yang juga merupakan fon-boleh-lipat, fon keluaran Samsung ini dijual pada tanda harga yang jauh lebih rendah, iaitu RM3999 sahaja. Bukan itu Sahara, Galaxy Z Flip3 5G turut dijalankan dengan sistem operasi OneUI yang berasaskan Android, dan dimuatkan juga dengan GMS bagi membolehkan fon ini beroperasi dengan lancar.
Jadi, untuk mengembalikan kegemilangan Huawei seperti dahulu, Huawei seharusnya bermain dengan harga yang lebih murah untuk menarik minat pengguna untuk kembali bertaut pada Huawei. Tambahan pula, Huawei tidak lagi menggunakan sistem operasi Android yang sememangya sudah lama dipercayai.