Leica dan Huawei mengumumkan kerjasama mereka pada tahun 2016 menerusi Huawei P9 dan Huawei P9 Plus. Saat inilah yang menjadi titik mula yang melonjakkan penjenamaan Huawei dan Leica. Huawei menjadi lebih terkenal berbanding sebelumnya, dan tindakan Huawei bekerjasama dengan Leica adalah satu langkah bijak kerana pengguna telefon pintar sudah mula mementingkan kualiti kamera.
Kerjasama jenama kamera dengan jenama fon bukanlah kali pertama dimeterai seperti ini. Sebelum ini, jenama ZEISS turut bekerjasama dengan Nokia untuk menghasilkan imej yang lebih cemerlang bagi beberapa model Nokia, seperti Nokia 8.3 5G, Nokia 9 PureView, dan sebagainya. Selain itu, ZEISS juga bekerjasama dengan vivo yang turut membawa mesej yang sama. vivo X60 Pro, vivo X70 Pro, dan vivo X70 Pro+ adalah antara model-model keluaran vivo yang mendapat sentuhan ZEISS.
Pun begitu, penjenamaan Leica yang telah melonjakkaan nama Huawei sudah sampai ke penghujungnya. Perkara ini telah disahkan oleh Huawei sendiri, menerusi soalan yang dikemukakan oleh Android Authority melalui soalan di emel.
“Kami mengesahkan kerjasama 2 syarikat (Huawei dan Leica) telah berakhir pada 31 Mac, ujar wakil Huawei kepada pihak Android Authority.
Dengan kata lain, Huawei P50 dan Huawei P50 Pro adalah fon terakhir daripada Huawei yang ‘ditampal’ jenama Leica pada kamera kedua-dua fon flagship ini. Huawei P50 Pocket yang merupakan ‘adik-beradik’ Huawei P50 dan Huawei P50 Pro tidak disertakan dengan penjenamaan Leica.