Sejak Google melancarkan Google Pixel 6, falsafah rekaan fon ini berubah sepenuhnya berbanding sebelumnya. Pixel 4 dan Pixel 5 misalnya dilihat ada elemen ‘meniru’ rekaan dan kedudukan kamera iPhone. Manakala Pixel 6 direka dengan begitu unik dengan rekaan kamera yang ditempatkan pada ‘batang besi’. Batang besi atau ‘bar’ ini disusun melintang, sama sekali memberikan kelainan pada fon ini.
Bar kamera pada Pixel 6 direka dengan binaan kaca. Manakala bar kamera Pixel 7 pula dibuat dengan menggunakan bahan logam. Maka, rekaan berasaskan logam ini secara logiknya memberikan kualiti binaan yang lebih ampuh, di samping dapat mengelakkan risiko bar kamera tersebut daripada pecah atau retak.
Rekaan Pixel 7 ini diteruskan pada model ‘adiknya’, iaitu Pixel 7a yang mana rekaanya telah ditiriskan baru-baru ini oleh pemilik akaun Twitter @OnLeaks. Jika Pixel 7 Pro menempatkan 3 kamera pada bar kamera tersebut, Pixel 7a hanya dimuatkan dengan 2 kamera sahaja, dengan kedudukan yang lebih berat pada kiri fon tersebut.
Pada bahagian hadapan pula, terdapat skrin yang mempunya ‘bezel’ yang agak tebal, persis rekaan fon pada tahun 2018. Walaupun Pixel 7a bukanlah fon flagship, adalah lebih baik sekiranya bezel tersebut dinipiskan lagi, supaya menampakkan rekaan yang lebih cantik, dan menjaga imej Google Pixel.
Namun, masih terlalu awal untuk berbicara tentang spesifikasi fon ini, memandangkan masih belum ada maklumat tentang spesifikasi fon ini.