Pada asalnya, Honor adalah sebuah anak syarikat di bawah Huawei. Honor merupakan fon yang lebih fokus kepada pasaran yang lebih mampu milik, berbanding Huawei yang dijual pada tanda harga lebih premium. Antara perkara yang membezakan Huawei dengan Honor adalah spesifikasi yang ditawarkan. Honor boleh dijual pada harga yang lebih mampu milik kerana terdapat beberapa ciri yang dibuang. Manakala Huawei begitu habis-habisan menawarkan spesifikasi yang lebih mantap.
Setelah Donald Trump memegang tampuk presiden Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, Huawei yang merupakan jenama dari China terkesan secara langsung, dan disenaraikan di dalam ‘Entity Lists‘, yang mana semua syarikat yang berada di dalam Entity Lists ini disekat daripada berdagang dengan syarikat dari Amerika Syarikat, dan syarikat yang menggunakan paten teknologi dari Uncle Sam ini. Honor yang merupakan anak syarikat Huawei turut terkesan secara langsung.
Kedua-dua Huawei dan Honor tidak dapat lagi menggunakan ekosistem Google, namun masih lagi boleh menggunakan sistem operasi Android. Hal ini membuatkan Huawei dan Honor begitu tertekan kerana tidak dapat lagi berdagang dengan Google, yang merupakan tunjang bagi Android. Untuk keluar dari kemelut ini, Huawei membina ekosistem mereka sendiri iaitu HMS (Huawei Mobile Services) yang digunakan pada Android, dan kemudian membangunkan sistem operasi mereka sendiri, iaitu HarmonyOS.
Satu lagi jalan keluar yang terpaksa dilaksanakan adalah, Honor telah menjadi satu entiti yang tersendiri tanpa ada kaitan dengan Huawei. Hal ini membolehkan jenama ini berdagang semula dengan Google. Fon-fon Honor yang terkini menggunakan sistem operasi Android dengan antaramuka Magic UI. Manakala fon-fon Huawei menggunakan sistem operasi mereka sendiri, iaitu HarmonyOS.
Walaupun kedua-dua jenama ini dikatakan sudah berpisah dan membawa haluan masing-masing dalam penjualan peranti mereka, Huawei dan Honor dilihat bagai isi dengan kuku, dan mempunyai kaitan di antara satu sama lain. Huawei P50 dan Honor 50 misalnya, mempunyai rekaan yang hampir-hampir sama. Manakala HarmonyOS pula kelihatan seakan-akan Magic UI. Manakala Magic UI pula kelihatan sama dengan EMUI, iaitu sistem operasi buatan Huawei yang berasaskan Android.
Jelas di sini, Honor mengambil langkah untuk keluar dari penjenamaan Huawei adalah sebagai langkah kelangsungan perniagaan. Walaupun kedua-duanya dilihat sudah berpisah pada mata kasar, hakikatnya Huawei dan Honor masih lagi mempunyai hubungkait yang rapat. Air dicincang tak akan putus!