Tim Cook dan Mark Zuckerberg adalah 2 nama besar dalam arena teknologi ini. Tim Cook adalah CEO yang mengemudi Apple sebagai sebuah syarikat paling bernilai pada saat ini. Manakala Mark Zuckerberg adalah pengasas Facebook yang merupakan media sosial nombor 1 setakat ini. Bukan itu sahaja, Mark Zuckerberg juga telah membeli laman sosial gergasi seperti Instagram dan membeli aplikasi permesejan nombor 1, iaitu WhatsApp.
Kedua-dua nama besar ini dilihat beberapa kali melemparkan kata-kata pedas terhadap sesama sendiri. Mereka sememangnya tidak boleh berlaga angin, apatah lagi duduk semeja. iOS 14.5 terbaru ini membuatkan Mark lebih bengang dengan Apple, kerana salah satu ciri yang dimuatkan di dalam perisian ini menghalang aplikasi untuk menjejak pengguna bagi tujuan pemasaran. Sebaliknya, aplikasi tersebut hendaklah mendapatkan kebenaran pengguna iPhone untuk melakukan penjejakan yang memungkinkan iklan disasarkan kepada pengguna tersebut.
Menurut Mark, ciri ini menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil, dan tindakan Apple ini menindas golongan ini. Dalam pada masa yang sama, Facebook telah menempah ruang iklan The Washington Post, New York Times, dan Wall Street Journal untuk ‘menampar’ dasar Apple yang dikatakan menindas peniaga-peniaga kecil yang menggunakan Facebook sebagai medium pengiklanan. Dalam iklan tersebut, Facebook telah menempelak Apple dengan mengatakan Apple tidak mesra bisnes kecil. Iklan-iklan yang menjejak pengguna menerusi carian internet membantu bisnes kecil untuk mendapatkan pelanggan dan menambah peluang pekerjaan secara lebih efektif.
Apa pun, ciri yang terdapat pada iOS 14.5 ini dilihat bagus untuk pengguna yang tidak ingin rasa terganggu dengan iklan-iklan yang sering mengekor dari segenap penjuru. Dari sudut lain pula, ciri ini tidaklah baik untuk para ahli pemasaran internet, kerana lebih sukar untuk menyasarkan iklan pada prospek bagi produk atau servis yang ditawarkan. Apa kata anda?