Dalam kalangan peminat-peminat gajet, iPhone terkenal dengan sifat ‘sombong’nya kerana tidak sesekali ingin mempunyai persamaan dalam beberapa aspek, contohnya dalam penggunaan kabel pengecasan. Misalnya, iPhone 4s menggunakan kabel jenis 30-pin, bila mana fon Android sezaman dengannya menggunakan kabel jenis micro USB. Setelah iPhone 5 diperkenal, sekali lagi Apple tidak ingin mempunyai persamaan dengan pesaing mereka dengan memperkenal kabel jenis Lightning buat pertama kalinya.
Selain daripada boleh dilihat sebagai nilai ekslusif buat iPhone, kabel Lightning juga memberikan keuntungan buat Apple dengan program MFi, yang mana program MFi ini membenarkan pengilang pihak ketiga menjual kabel Lightning yang diperakui oleh Apple. Melalui program ini, Apple turut memperoleh keuntungan daripada kabel yang dijual, walaupun tidak menggunakan logo dan jenama Apple.
Pun begitu, nilai ekslusif kabel Lightning ini memberikan impak negatif terhadap pencemaran alam akibat penghasilan lebih banyak kabel di muka bumi yang akhirnya menjadi sisa elektronik (e-waste), dan dalam masa sama, pelepasan karbon akibat penghasilan banyaknya jenis kabel seperti kabel Lightning dan kabel USB-C juga merupakan impak negatif terhadap alam sekitar. Pengguna alat-alat elektronik terpaksa membeli lebih banyak kabel dan palam pengecas disebabkan alat-alat elektronik ini tidak mempunyai satu piawaian (standard) yang sama. Android menggunakan USB-C, iPhone menggunakan Lightning.
Justeru, pihak EU telah meluluskan undang-undang supaya alat elektronik bersaiz kecil dan sederhana termasuklah kamera, fon, headphone, dan lain-lain diwajibkan untuk menggunakan port pengecasan USB-C sahaja, sekiranya alat-alat elektronik ini dipasarkan di negara-negara EU, menjelang 2024. Undang-undang ini turut memperuntukkan USB-C sahaja sebagai port pengecasan, bukan selainnya seperti micro USB atau Lightning. Bagi peralatan bersaiz besar seperti komputer riba pula, EU menetapkan komputer riba wajib menggunakan port USB-C menjelang 2026.
Hal ini sama sekali memaksa Apple untuk sama ada menggunakan iPhone kabel jenis USB-C, atau Apple mengambil langkah yang lebih drastik lagi radikal seperti menggunakan iPhone tanpa sebarang port pengecasan, dengan makna lain, iPhone tersebut menggunakan sistem pengecasan tanpa wayar bagi menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh EU. Sekiranya Apple tetap berkeras ingin menggunakan kabel Lightning, Apple harus memasarkan iPhone dengan port USB-C untuk pasaran negara-negara EU, manakala mengekalkan port Lightning untuk pasaran selain negara-negara EU seperti Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Malaysia, dan negara-negara Asia yang lain.
EU telah melaporkan sisa elektronik yang dihasilkan di negara-negara EU adalah sebanyak 11 juta tan setahun. Dengan perlaksanaan undang-undang ini, sisa elektronik berpotensi untuk berkurangan dari tahun ke tahun, apabila pengguna alat-alat elektronik hanya menggunakan kabel yang menepati satu piawaian sahaja.