Walaupun Samsung telah melancarkan beberapa fon flagship lain termasuk Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4, Galaxy S22 Ultra adalah fon terbaik keluaran Samsung tahun ini. Namun, ada beberapa kelemahan ketara jika fon ini dibandingkan dengan pesaing-pesaing Samsung seperti iPhone 14 Pro Max, Honor Magic4 Pro, Xiaomi 12 Pro, dan sebagainya.
Berikut merupakan kelemahan Galaxy S22 Ultra yang harus dibaiki, dan tidak diteruskan pada Galaxy S23 Ultra yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Bateri yang Lemah
Sungguhpun fon ini dimuatkan dengan bateri berkapasiti 5000mAh, Galaxy S22 Ultra jauh ketinggalan dari segi ketahanan baterinya. Secara logiknya, jika bateri fon tersebut adalah 5000mAh, sudah pasti fon tersebut mampu bertahan seharian, dan tidak ‘bersahabat’ dengan power bank. Namun, sebaliknya yang berlaku kerana bateri 5000mAh ini tidaklah tahan mana, dan mampu bertahan lebih kurang 5 jam screen-on-time (SOT) sahaja. Sedangkan, fon-fon flagship lain mampu bertahan sehingga 6 ke 7 jam SOT walaupun kapasiti baterinya lebih kecil.
Pengecasan Pantas yang agak Ketinggalan
Kuasa pengecasan maksimum yang mampu diterima oleh Galaxy S22 Ultra adalah 45W. Kuasa pengecasan 45W tidaklah teruk atau perlahan. Namun, jika Galaxy S23 Ultra mampu menerima kuasa pengecasan setinggi 60W sudah cukup baik untuk memendekkan masa pengecasan.
Pembesar Suara Kurang Menyerlah
Sungguhpun Samsung telah membeli saham dan teknologi AKG yang merupakan anak syarikat Harman/Kardon beberapa tahun lalu, pembesar suara stereo Galaxy S22 Ultra tidaklah begitu lunak untuk didengar. Misalnya, bass tidak begitu diperkaya, dan butiran-butiran audio seharusnya lebih ditonjolkan. Apalah gunanya kepakaran audio Harman/Kardon sekiranya tidak digunapakai pada fon-fon Samsung?