Tahun lalu, Samsung telah melancarkan fon flagship paling agung yang pernah mereka hasilkan. Bahkan, sememangnya Galaxy S21 Ultra layak dinobatkan sebagai fon terbaik bagi tahun 2021. Tahun ini, Samsung sekali lagi meneruskan kegemilangan itu dengan melancarkan Galaxy S22 Ultra yang mempunyai beberapa penambahbaikan daripada model Galaxy S21 Ultra.
Berikut merupakan beberapa penambahbaikan yang terdapat pada Galaxy S22 Ultra
Skrin yang lebih terang
Dari segi kecerahan skrin, Galaxy S21 Ultra amat cemerlang di bawah cahaya matahari, kerana skrin AMOLED Galaxy S21 Ultra memberikan kecerahan maksimum 1500 nits. Galaxy S22 Ultra pula mampu memberikan kecerahan yang lebih tinggi, dengan kecerahan maksimum setinggi 1750 nits.
Sokongan stylus terbina
Galaxy S21 Ultra adalah fon Samsung dari keluarga Galaxy S pertama yang menyokong stylus S Pen. Namun, Galaxy S21 Ultra tidak mempunyai slot S Pen, dan S Pen haruslah dibeli berasingan. Bagi Galaxy S22 Ultra pula, inilah fon Samsung dari keluarga S pertama yang mempunyai slot bagi S Pen, dan S Pen tersebut tidak perlu dibeli secara berasingan.
Sokongan pengecasan pantas 45W
25W adalah kuasa pengecasan maksimum bagi Galaxy S21 Ultra. Bagi Galaxy S22 Ultra pula, fon ini menyokong sehingga 45W. Namun, perbezaan dari segi tempoh pengecasan tidaklah begitu ketara walaupun agak ketara dari segi jumlah kuasa pengecasan. Menurut SamMobile, perbezaan masa pengecasan hanyalah 4 minit.
Rekaan yang lebih segar
Rekaan Galaxy S22 Ultra mengingatkan kita pada Galaxy Note10 dan Galaxy Note20 Ultra yang telah ‘ditidurkan’ oleh Samsung selamanya. Oleh itu, tidaklah mengejutkan apabila fon dari keluarga Galaxy S ini mempunyai gabungan rekaan Galaxy S dan Galaxy Note yang kelihatan lebih bersegi pada bucu fon ini. Jika anda rindukan Galaxy Note, Galaxy S22 Ultra adalah pengubat rindu terbaik.
Perlindungan skrin lebih kukuh
Corning Gorilla Glass Victus adalah kaca paling premium yang dikeluarkan oleh Corning pada tahun lalu, dan digunakan pada Galaxy S21 Ultra. Pada tahun ini, Galaxy S22 Ultra menggunakan kaca yang lebih baharu dan lebih tahan daripada Corning, iaitu Corning Gorilla Glass Victus+. Menurut GizChina, Gorilla Glass Victus+ ini memberikan ketahanan terhadap calar dengan tokokan sebanyak 12.5%.