Pengecasan pantas adalah fungsi yang amat penting dalam era telefon pintar moden. Tanpa ciri ini, tidak lengkaplah sesebuah telefon pintar. Bahkan, ciri pengecasan pantas adalah daya tarikan untuk melariskan jualan fon-fon tertentu. Ciri ini dijadikan sebagai sorotan dalam pengiklanan supaya pelanggan lebih tertarik untuk membeli fon ini.
Samsung juga tidak terlepas daripada menggunakan ciri penting ini. Namun, Samsung agak ketinggalan dari segi kuasa pengecasan jika dibandingkan dengan jenama-jenama dari China. Samsung yang merupakan jenama dari Korea Selatan ini hanya mempunyai kuasa pengecasan pantas maksimum setinggi 45W sahaja, manakala beberapa jenama dari China sudah pun membangunkan teknologi pengecasan pantas setinggi 150W!
Dalam artikel kali ini, kami ingin berkongsi tentang 3 protokol pengecasan pantas yang telah dibangunkan oleh Samsung.
Samsung Adaptive Fast Charging
Inilah protokol pengecasan pantas paling awal dibangunkan oleh Samsung, dan masih digunakan sehingga hari ini untuk peranti kelas pertengahan Samsung. Protokol ini menggunakan port keluaran USB-A dari palam pengecas, dan disambung kepada fon sama ada menggunakan sambungan micro USB atau USB-C. Kuasa pengecasan protokol ini hanya terhad pada 15W sahaja. Fon terawal yang menggunakan protokol ini adalah Samsung GALAXY Note4 pada tahun 2014. Fon kelas flagship seperti Samsung Galaxy S10 turut hanya menggunakan teknologi ini meskipun dijual pada tahun 2019.
Samsung Super Fast Charging
Setelah bertahun lamanya menggunakan Samsung Adaptive Fast Charging, akhirnya Samsung telah berhijrah kepada teknologi yang lebih baik. Samsung Super Fast Charging ini adalah protokol yang berasaskan USB Power Delivery PPS (Programmable Power Supply) yang menggunakan port keluaran dari palam pengecas USB-C, dan disambung kepada fon dengan sambungan USB-C. Kuasa pengecasan maksimum terhad pada 25W. Fon pertama yang menggunakan teknologi ini adalah Samsung Galaxy A70, dan berlanjutan sehingga fon kelas pertengahan-premium dan kelas flagship hari ini.
Samsung Super Fast Charging 2.0
Protokol ini adalah penaiktarafan daripada generasi sebelumnya. Maka, protokol yang digunakana adalah USB Power Delivery PPS 2.0 yang mengeluarkan kuasa pengecasan maksimum 45W. Hanya fon-fon Samsung yang tertentu sahaja menyokong teknologi ini antaranya Galaxy S20 Ultra, Galaxy Note 10+, dan Galaxy S22 Ultra.