Apple adalah sebuah syarikat yang bernilai trilion dollar, namun mereka tidak mempunyai kilang untuk menghasilkan produk mereka. Produk-produk Apple direka di California, dan dikilangkan di tempat lain. Foxconn adalah rakan niaga Apple sejak dahulu lagi, yang mana Foxconn telah diberikan kontrak untuk menghasilkan produk-produk Apple seperti iPhone, iPad, kabel Lightning, EarPods, dan sebagainya.
Foxconn adalah sebuah syarikat dari Taiwan yang turut mengilangkan beberapa peralatan elektronik lain seperti PlayStation. Kilang Foxconn yang paling dikenali di seluruh dunia adalah di Shenzen, China. Di sinilah iPhone dikilangkan, dan oleh kerana itu, kita dapat lihat frasa “Designed in California, Assembled in China”. Apple dengan bijaknya menggunakan istilah ‘assembled’ yang bermaksud ‘dipasang’ bagi melunakkan maksud ‘Made in China’ yang sebenarnya membawa maksud yang sama dengan ‘Assembled in China’.
Terkini, Apple akan mengilangkan siri iPhone 13 di India, di bawah kilang yang sama, iaitu kilang Foxconn di Chennai, India. Apple juga turut mengilangkan beberapa model lama seperti iPhone 11 dan iPhone SE 2020, yang mana model-model ini dijangka akan dijual di pasaran India sebanyak 70% daripada penghasilannya di India.
Apple bertindak untuk memindahkan pengilangan iPhone ke India adalah untuk mengurangkan kos penghasilan sesebuah iPhone. Faktor yang membuatkan Apple bertindak sedemikian adalah, penghasilan iPhone di India dapat menjimatkan cukai import sebanyak 20%. Khabar angin juga mengatakan Apple bakal memindahkan 20% daripada penghasilan di China ke India tidak lama lagi.
Mungkin selepas ini kita akan dapat melihat ayat ‘Designed in California, Assembled in India’ pada masa akan datang.