Tahun lalu, Clubhouse telah menggegarkan dunia internet dengan satu aplikasi konsep baharu, iaitu aplikasi yang memperdengar suara sahaja sebagai sarana bualan dan juga perbincangan ilmiah. Konsep yang serba baharu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Pada awalnya, aplikasi ini hanya ekslusif untuk pengguna iOS sahaja. Beberapa bulan kemudian, aplikasi ini mula ‘mendarat’ untuk peranti Android.
Twitter sebagai salah satu media sosial paling popular di dunia telah mengambil langkah untuk meniru konsep ini, dan dinamakan sebagai Twitter Spaces. Awal pelancaran Twitter Spaces ini mendapat sambutan yang amat positif meskipun terdapat banyak pepijat pada fungsi baharu ini. Kemudian, Twitter Spaces lebih digemari kerana pengguna tidak perlu lagi untuk mencipta akaun baharu yang lain.
Twitter Spaces terus diprerbaiki, diperhalusi, dan dipertingkat lagi bagi mengukuhkan lagi fungsi ini. Setelah sebilangan pengguna iOS diberikan fungsi Beta (percubaan), kini semua pengguna Android boleh menikmati fungsi baharu untuk Twitter Spaces, iaitu fungsi yang boleh merakam dan memainkan semula perbualan di dalam Twitter Spaces.
Namun begitu, fungsi merekod suara di Twitter Spaces ini hanya boleh dilakukan oleh hos sahaja, bukan untuk para pendengar. Perbualan yang direkodkan akan disimpan selama 30 hari di pelayan (server) Twitter, dan akan dibuang setelah berakhirnya tempoh ini.