MagSafe adalah sebuah teknologi pengecasan yang mana sambungan pengecas ini adalah berasaskan magnet. Teknologi MagSafe ini mula diperkenal pada tahun 2006 untuk MacBook Pro. Pada 2019, MagSafe untuk MacBook tidak lagi digunakan pada MacBook Pro kerana MacBook Pro generasi yang lebih baharu mula menggunakan sambungan USB-C berasaskan teknologi USB Power Delivery.
Pada tahun 2017 pula, Apple memperkenal iPhone pertama dengan teknologi pengecasan tanpa wayar menerusi iPhone X dan iPhone 8. Kemudian, teknologi pengecasan tanpa wayar ini diteruskan pada semua iPhone yang dilancarkan selepas tahun 2017. iPhone 12 yang dilancarkan pada tahun 2020 pula dimuatkan dengan fungsi pengecasan tanpa wayar yang lebih baharu, iaitu dengan konsep MagSafe. Walaupun MagSafe ini sudah tidak lagi digunakan pada MacBook, Apple menggunakan teknologi ini untuk iPhone 12 pula.
MagSafe untuk iPhone ini menggunakan konsep pengecasan tanpa wayar Qi, dan Apple mencadangkan pengguna untuk menggunakan pengecas 20W bagi tujuan pengecasan. Walaupun Apple mengesyorkan pengguna untuk menggunakan pengecas USB Power Delivery 20W, pengecas tanpa wayar MagSafe ini hanya menjana kuasa pengecasan 15W sahaja. Sungguhpun MagSafe ini menjana kuasa yang tidaklah begitu tinggi, iaitu 15W sahaja, pengecas MagSafe ini dijual pada tanda harga RM179.00 yang boleh dikatakan sangat mahal. Namun, jika anda adalah peminat tegar Apple, pasti anda tidak kisah dengan penawaran harga seperti ini.
Apple juga turut memperkenal kerangka pelindung dengan magnet, supaya pengecas MagSafe ini dapat melekat bersama iPhone semasa menggunakan MagSafe. Namun, seunit kerangka pelindung rasmi daripada Apple ini tidaklah murah. Seunit kerangka pelindung MagSafe yang diperbuat daripada silikon dijual pada harga RM219.00 seunit. Manakala kerangka pelindung MagSafe yang berasaskan kulit tulen berharga RM269.00. Manakala kerangka pelindung plastik telus pula berharga RM219.00. Jika anda merasakan harga aksesori rasmi Apple ini begitu mahal, anda boleh dapatkan kerangka pelindung daripada jenama lain yang dijual pada tanda harga yang jauh lebih murah.
iPhone 13 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dijangka akan mengekalkan teknologi MagSafe ini. Namun, para pencinta teknologi sudah pasti mengharapkan agar kuasa pengecasan MagSafe dipertingkat dari 15W kepada sekurang-kurangnya 20W.