Xpert Gadget Mobile Phone Repair

MagVOOC: Inspirasi dari MagSafe dengan Keupayaan lebih Mantap

Share this :

MagSafe adalah teknologi pengecasan berasaskan magnetik yang mula diperkenal untuk MacBook Pro. Teknologi ini sudah tidak lagi digunakan pada MacBook Pro bermula 2016 memandangkan MacBook Pro generasi baharu mula menggunakan kabel sambungan jenis USB-C. Kemudian, teknologi MagSafe ini ‘dipinjamkan’ pada iPhone 12 bagi mewujudkan teknologi pengecasan tanpa wayar yang lebih baharu dan lebih segar.

Terkini, OPPO juga tidak terkecuali daripada memperkenal teknologi seumpama MagSafe, dengan nama yang hampir sama juga, iaitu MagVOOC. ‘Mag’ diambil daripada perkataan ‘magnetik’, manakala VOOC pula adalah protokol pengecasan pantas hasil kejuruteraan OPPO yang bermaksud Voltage Open Loop Multi-step Constant-Current Charging. Aksesori terkini keluaran OPPO ini terbahagi kepada 3 jenis, iaitu pengecas MagVOOC 40W, pengecas MagVOOC 20W, dan power bank.

Pengecas MagVOOC ini sedikit berbeza dengan pengecas MagSafe, kerana pengecas ini adalah jenis pengecas berdiri yang ‘memegang’ fon secara menegak dengan bantuan sistem magnetik. Pengecas ini mampu menjana kuasa pengecasan setinggi 40W yang boleh diterima oleh fon seperti OPPO Ace2, yang mana OPPO Ace2 dimuatkan dengan bateri sebesar 4000mAh yang boleh dipenuhkan dengan pengecas MagVOOC 40W ini dalam tempoh 56 minit sahaja. Manakala fon terdahulu seperti OPPO Finc X3 boleh menerima kuasa pengecasan 30W. Sekiranya fon tersebut menyokong pengecasan tanpa wayar biasa, pengecas MagVOOC ini akan mengecas fon tersebut pada kuasa pengecasan 15W.

Manakala pengecas MagVOOC 20W pula mempunyai kuasa pengecasan yang lebih rendah, namun mempunyai kelebihan dari segi saiznya yang amat nipis. Oleh itu, pengecas MagVOOC 20W ini lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana.

MagVOOC power bank pula adalah power bank yang amat nipis. Namun, kapasiti power bank ini cuma 4500mAh sahaja yang mungkin hanya dapat digunakan sekali atau kurang bagi kebanyakan fon yang ada di pasaran hari ini. Power bank kecil molek ini turut mempunyai sistem pengecasan magnetik yang mampu menjana kuasa pengecasan setinggi 20W.

Pun begitu, OPPO masih berteka-teki dalam penjualan dan harga produk MagVOOC ini. Masih belum ada harga jualan dan tarikh jualan bagi aksesori yang memberikan saingan terhadap MagSafe ini.

Share this :

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *