Xpert Gadget Mobile Phone Repair Specialist

Mengapa Google Seharusnya Mengharamkan ‘Bloatware’ dalam Peranti Android?

Share this :

‘Bloatware’ adalah aplikasi yang dimuatkan di dalam sesebuah peranti Android, tanpa pengguna memasangnya. Aplikasi ini dipasang sejak fon tersebut dibuat di kilang, oleh pengeluar-pengeluar telefon pintar. Aplikasi ini semestinya akan ‘menggemukkan’ fon dan memakan ruang storan di dalam fon meskipun tidak dimahukan oleh pengguna.

Fon yang tiada bloatware adalah seperti Google Pixel, kerana Google hanya menyediakan aplikasi-aplikasi penting sahaja tanpa memasang aplikasi lain tanpa keperluan. Jenama-jenama lain seperti Honor, Samsung, Xiaomi, realme, dan lain-lain sememangnya dimuatkan dengan bloatware. Apa yang membezakan kesemua jenama ini adalah berapa banyak bloatware dipasang, atau adakah bloatware itu boleh dimatikan (disable) secara manual.

Peranti Samsung dahulunya dimuatkan begitu banyak bloatware yang tidak diperlukan oleh pengguna. Kini, Samsung telah meminimumkan jumlah bloatware tersebut. Pun begitu, ada bloatware yang boleh dibuang secara manual, ada juga yang langsung tidak boleh dibuang. Aplikasi seperti Samsung Free pula adalah bloatware yang tidak boleh dibuang, dan tidak boleh juga dimatikan.

Jenama seperti Xiaomi pula terkenal dengan bloatware yang ‘bersepah’ ini. Terdapat banyak bloatware yang tidak diperlukan dan boleh dianggap sebagai ‘sampah aplikasi’. Sampah seperti ini hanya memenuhkan ruangan storan di dalam fon meskipun tidak pernah digunakan.

Apakah kesan bloatware di dalam sesebuah peranti Android? Seperti yang kita ketahui, bloatware ini membuatkan storan fon penuh. Seandainya fon tersebut hanya dimuatkan dengan storan 32GB atau 64GB, sudah pasti keadaan ini amat merugikan pengguna. Pengguna membeli fon dengan sejumlah storan untuk digunakan, bukan untuk dipenuhkan dengan bloatware.

Jika bloatware ini tidak dimatikan secara manual, potensi untuk bloatware ini beroperasi di belakang tabir tetap akan ada. Apabila keadaan ini berlaku, bateri fon akan habis dengan lebih cepat. Dan bukan semua pengguna tahu bagaimana cara untuk mematikan bloatware secara manual, contohnya golongan berusia yang menggunakan fon Android.

Oleh itu, Google seharusnya menetapkan peraturan bagi semua pengeluar fon Android untuk tidak lagi memasang bloatware yang tidak diperlukan. Bloatware ini bukan sahaja tidak diperlukan, malah dibenci oleh pengguna-pengguna peranti Android yang tidak pernah membayar untuk memasang bloatware yang tidak pernah digunakan ini.

Share this :

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *