Sejak Rusia melancarkan perang ke atas Ukrain, mereka bukan sahaja dikenakan tekanan dan sekatan dari segi politik dan ekonomi. Mereka juga dikenakan tekanan dan sekatan dari segi kebebasan berjual-beli di atas talian. Hal ini dilakukan supaya Rusia menghentikan pencerobohan terhadap Ukrain yang merupakan sekutu Amerika Syarikat (AS).
Disebabkan kebanyakan perkhidmatan berasaskan internet berpangkalan di AS, Rusia dikenakan sekatan daripada mengakses perkhidmatan tersebut. Contohnya, Rusia tidak dibenarkan untuk melanggan penstriman seperti Netflix. Aplikasi seperti TikTok juga menyekat TikTok Live yang bersiaran dari Rusia.
Bukan itu sahaja, pengguna gedung aplikasi Play Store dari Rusia juga menerima kesan yang sama. Mereka disekat daripada membeli aplikasi dari Play Store. Bukan itu sahaja. Pembangun aplikasi dari Rusia turut menerima kesan yang sama, yang mana aplikasi yang telah diterbitkan di Play Store turut disekat daripada dibeli, sama sekali menyebabkan pendapatan para pembangun aplikasi dari Rusia terjejas.
Atas sebab itu, Rusia mengambil langkah untuk membina gedung aplikasi sendiri yang mirip dengan Play Store bagi pengguna Android yang dinamakan sebagai NashStore. NashStore ini membawa maksud ‘Kedai Kami’. Gedung aplikasi ini bakal dilancarkan, supaya pengguna peranti Android di Rusia dilorongkan jalan keluar daripada sekatan digital ke atas mereka.
Sebenarnya perang Rusia-Ukrain ini bukan sahaja melibatkan peperangan secara fizikal, mereka juga berperang secara alam maya atau ‘cyber war’ yang melibatkan aktiviti penggodaman laman web. Setelah laman web digodam, penggodam tersebut membuang data-data penting, atau meniriskan maklumat penting kepada umum sebagai salah satu kaedah perang siber.