Xpert Gadget Mobile Phone Repair

OnePlus 10 Pro Kini Rasmi dengan Perubahan Rekaan yang Ketara

Share this :

Beberapa hari sebelum pelancaran OnePlus 10 Pro secara rasmi, CEO OnePlus, Pete Lau telah menerbitkan gambar rekaan rasmi fon ini menerusi akaun Twitter miliknya. Menerusi rekaan yang dipaparkan, OnePlus 10 Pro ini jelas menunjukkan rekaan yang ketara perubahannya, dan sama sekali menghilangkan falsafah rekaan OnePlus itu sendiri. Oh ya, falsafah rekaan OnePlus sememangnya tidak pernah konsisten sebelum ini. Rekaan fon kali ini dikatakan mengambil inspirasi daripada rekaan Samsung Galaxy S21.

Jika diteliti rekaan siri Galaxy S21, terdapat bingkai kamera yang diadun dan digabung bersama dengan bingkai fon. Konsep rekaan inilah yang ‘ditiru’ oleh OnePlus, dengan bingkai yang lebih besar, dan kelihatan agak aneh. Peminat-peminat gajet turut mengkritik rekaan OnePlus 10 Pro kali ini kerana kelihatan agak aneh dan janggal. Namun, kemungkinan fon ini direka sebegini untuk mempamerkan kelainan, seperti mana yang pernah dilakukan oleh Apple menerusi rekaan kamera iPhone 11 satu ketika dahulu.

Selain itu, identiti OnePlus yang selama ini menggunakan penjenamaan Warp Charge sejak beberapa tahun lalu telah lenyap sama sekali. OnePlus 10 Pro tidak lagi menggunakan penjenamaan pengecasan pantas Warp Charge, sebaliknya menggunakan penjenamaan yang digunakan oleh jenama OPPO, iaitu SuperVOOC. Pengecasan pantas ini berkuasa sehingga 80W dengan sambungan USB-A kepada USB-C. OnePlus 10 Pro juga menyokong teknologi pengecasan pantas tanpa wayar AirVOOC 50W.

Dari segi sistem operasi, OnePlus 10 Pro dijalankan menggunakan ColorOS 12.1 untuk pasaran China, dan OxygenOS 12 untuk pasaran global yang berasaskan Android 12. Dari segi cip pemproses pula, fon ini dikuasakan oleh cip pemproses paling berkuasa daripada Qualcomm untuk peranti tahun 2022, iaitu Snapdragon 8 Gen1. Storan yang ditawarkan adalah 128GB sehingga 256GB, tiada penawaran storan 512GB atau 1TB, dan dipadankan dengan RAM dari 8GB hingga 12GB.

Setakat ini, masih belum ada ura-ura bilakah OnePlus 10 Pro ini akan menembusi pasaran tempatan. Harga yang ditawarkan di China adalah seperti berikut:
– 8GB + 128GB = ¥4699
– 8GB + 256GB = ¥4999
– 12GB + 256GB = ¥5299
Kebiasaannya, harga untuk pasaran Malaysia akan dijual lebih mahal berbanding harga yang ditawarkan di China mengikut kadar tukaran asing semasa.

Share this :

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *