Jika kita masih ingat, OnePlus turut pernah menyindir Apple tatkala Apple membuang bicu audio 3.5mm bermula iPhone 7. Kemudian, OnePlus terpaksa ‘menelan’ sindiran mereka terhadap Apple setelah mereka melancarkan OnePlus 6T, iaitu fon pertama OnePlus yang ketiadaan bicu audio 3.5mm. Entah apa alasan mereka membuang lubang keramat ini, kita pun tidak tahu.
Kemudian, daripada fon flagship semata-mata, OnePlus mula mengeluarkan fon pertama yang bukan flagship, iaitu OnePlus Nord. OnePlus Nord ini bukan sahaja bukan fon flagship, malah turut tidak dimuatkan dengan bicu audio 3.5mm. Peminat OnePlus menerima kehadiran OnePlus Nord dalam keadaan yang dingin kerana ketiadaan ‘wow factor‘, harga yang agak mahal, dan ketiadaan bicu audio.
Terbaru, OnePlus hadir lagi dengan fon kelas pertengahan mereka, iaitu OnePlus Nord CE. OnePlus Nord CE ini mengekalkan falsafah rekaan yang terdapat pada OnePlus Nord. Turut dikekalkan adalah skrin Fluid AMOLED yang turut ada pada OnePlus Nord. Apa yang lebih ‘istimewa’ adalah, fon kelas pertengahan terbaru OnePlus ini mengembalikan keberadaan bicu audio yang sekian lama telah lenyap dalam dunia OnePlus. Perkara ini seharusnya memberikan kelegaan kepada peminat, dan satu langkah yang baik untuk mengembalikan bicu audio kegemaran ramai ini.
Selain itu, OnePlus Nord CE ini turut mempunyai kemampuan untuk menerima rangkaian 5G yang membolehkan fon ini relevan sehingga beberapa tahun lagi untuk segmen fon kelas pertengahan. Namun, jika fon ini menembusi pasaran Malaysia, pengguna di Malaysia tidak seharusnya memilih fon ini semata-mata kerana 5G, kerana rangakain 5G di Malaysia masih belum kunjung tiba. Sekiranya telah tiba, entah bila pula akan mendapat liputan meluas.
Antara spesifikasi utama OnePlus Nord CE:
– Snapdragon 750
– Bateri 4500mAh
– Kamera utama 64MP
– RAM dari 6GB hingga 12GB
– Storan dalam dari 128GB hingga 256GB
– Storan jenis UFS 2.1
– Pengecasan pantas Warp Charge 30T Plus
– Skrin 6.43″ Fluid AMOLED 90Hz
Fon ini dijual pada tanda harga bermula £299, dan tidak dapat dipastikan sama ada fon ini bakal dijual di pasaran tempatan atau sebaliknya.