OPPO adalah jenama yang begitu terkenal dengan teknologi pengecasan pantas. Jenama ini jugalah pelopor yang memperkenal teknologi pengecasan pantas 20W pada tahun 2014 yang dijenamakan sebagai VOOC yang bermaksud Voltage Open Loop Multi-step Constant-Current Charging. VOOC adalah teknologi yang menggunakan arus yang lebih tinggi berbanding teknologi lain semasa teknologi ini diperkenal.
Kemudian, teknologi ini terus berevolusi dan ditambah baik dari tahun ke tahun berikutnya. Teknologi ini ditambah baik dari VOOC kepada VOOC 2.0, VOOC 3.0 dan SuperVOOC yang memendekkan masa pengecasan. Jenama lain seperti OnePlus turut menggunakan teknologi yang sama, tetapi menggunakan penjenamaan yang lain. Misalnya, realme menggunakan penjenamaan SuperDart dan OnePlus menggunakan penjenamaan Warp Charge.
Terbaru, OPPO telah memperkenal SuperVOOC 150W dan telah menguji pada peranti prototaip mereka yang mempunyai bateri berkapasiti 4500mAh. Pengecas ini hanya memerlukan 5 minit untuk memenuhkan bateri dari 1% hingga 50%. Secara keseluruhan, pengecas pantas SuperVOOC 150W ini hanya memerlukan 15 minit untuk memenuhkan bateri sebesar 4500mAh ini. Dari segi perbandingan, pengecas SuperVOOC 65W memerlukan masa sebanyak 40 minit untuk 100% penuh.
Namun, kesihatan bateri menjadi kegusaran bagi pengguna yang menggunakan pengecas pantas yang ekstrem seperti ini. Oleh yang demikian, OPPO memperkenalkan juga Battery Health Engine, iaitu sebuah sistem yang menjaga hayat bateri supaya tidak susut hayat dengan lebih cepat. Melalui sistem ini, Solid Electrolyte Interface (SEI), iaitu sejenis lapisan berketahanan tinggi pada elektrod bateri digunakan bagi melindungi bateri daripada mengalami susut hayat.
Jenama-jenama lain juga harus mengikut jejak langkah OPPO, yang memperkenal teknologi pengecasan pantas seperti ini yang memudahkan urusan harian. Namun, kesihatan bateri juga harus difikirkan, supaya bateri tidak terlalu kerap ditukar, sama sekali menyumbang kepada penurunan bahan buangan elektronik.