Sejak beberapa tahun lalu, OnePlus dilihat semakin kehilangan identiti mereka. Hal ini dapat dilihat dengan bermulanya era fon kelas pertengahan seperti OnePlus Nord, sedangkan selama ini OnePlus hanya melancarkan peranti flagship sahaja. Perkara tersebut juga dikatakan penyebab Carl Pei yang merupakan sosok penting dalam OnePlus meninggalkan syarikat tersebut.
Kemudian, OnePlus bergabung dengan OPPO sebagai kerjasama dalam pembangunan perisian. Maka, kita tidak terkejut melihat OxygenOS tidak gah seperti dulu. OxygenOS kini dilihat banyak pepijat, tidak selancar dahulu, dan tidak lagi mampu memberikan kemaskini yang segera seperti yang berlaku semasa awal-awal pembangunan syarikat OnePlus. Justeru, OnePlus dikritik kerana mengabaikan aspek perisian.
OxygenOS 12 yang dilancarkan pada tahun lalu dilihat sebagai ‘klon’ bagi ColorOS yang mana ColorOS adalah perisian yang dibangunkan oleh OPPO. Hal ini tidak menyenangkan peminat OnePlus, kerana kebanyakan peminat OnePlus menggunakan OnePlus adalah kerana identiti OxygenOS itu sendiri. Atas sebab itu, OnePlus telah mengambil keputusan untuk mengembalikan identiti terdahulu dengan memperkenal kembal ciri OxygenOS yang lebih ringkas dan mirip dengan perisian Android Tulen. OxygenOS 13 ini akan dilancarkan bersama-sama dengan Android 13 pada tahun ini.
Perkara ini telah diumumkan oleh OnePlus menerusi acara Mobile World Congress (MWC) di Barcelona. Selain itu, OnePlus juga akan mengembangkan hab jualan mereka termasuklah di beberapa negara Asia, benua Afrika, dan Asia tengah.