WhatsApp adalah aplikasi permesejan paling popular di dunia. Fungsinya sebenarnya boleh dikatakan diambil daripada fungsi yang terdapat pada BlackBerry Messenger (BBM). Namun, BBM hanya terhad pada peranti BlackBerry sahaja. Maka, WhatsApp menggunakan konsep yang sama, tetapi boleh digunakan untuk semua jenis sistem operasi termasuk BlackBerry OS, Windows Phone, iOS, dan Android. Kini, hanya 2 sistem operasi masih gagah berdiri, iaitu iOS dan Android. Dan kedua-duanya boleh menyokong WhatsApp untuk tujuan permesejan.
Namun, terdapat rungutan apabila data-data WhatsApp yang tersimpan di dalam fon Android tidak dapat dipindahkan kepada iPhone. Sekiranya pengguna Android itu ingin bertukar angin kepada iPhone, mesej-mesej penting pada WhatsApp tidak lagi dapat dibaca. Hal ini amat merumitkan para pengguna yang ingin berhijrah kepada sistem operasi lain. Apa yang boleh dilakukan hanyalah membeli perisian pihak ketiga seperti BackupTrans. Namun, harga perisian ini tidaklah murah, dan tidak semua orang tahu untuk menggunakannya. Tambahan pula, ini bukan kaedah rasmi daripada pihak WhatsApp.
Sandaran data WhatsApp ini tidak seperti yang terdapat pada aplikasi permesejan seperti Telegram yang menggunakan sistem storan awan mereka sendiri. Sekiranya pengguna iPhone berhijrah kepada Android, mesej-mesej di Telegram tetap kekal di dalam aplikasi, tanpa perlu disandarkan secara manual oleh pengguna. Sebaliknya, aplikasi Telegram itu sendiri yang membuat sandaran data secara automatik ke dalam sistem storan awan mereka. Hebat kan?
Rungutan ini akhirnya bakal lenyap tidak lama lagi, apabila WhatsApp telah memperkenal kaedah untuk memindahkan data dari iPhone ke Android, dan sebaliknya. Sebelum itu, WhatsApp telah memperkenal kaedah ini, namun hanya terhad pada fon Samsung dengan sistem operasi Android 10 dan ke atas sahaja. Kini, pengguna Android sudah boleh memindahkan data WhatsApp kepada iOS. Tetapi, pemindahan data ini hanya terhad pada peranti Android 12 sahaja. Seperti yang kita sedia maklum, setakat penghujung Oktober 2021, Google Pixel 6 adalah satu-satunya fon yang dijalankan dengan sistem operasi Android 12.
Untuk memindahkan data WhatsApp ini, pengguna memerlukan seunit kabel USB-C-kepada-Lightning, dan sambungkan kedua-dua fon Android dan iPhone untuk membuat sandaran data WhatsApp.