Tahun lalu, PUBG Mobile adalah antara puluhan aplikasi dari China yang diharamkan oleh kerajaan India, kononnya aplikasi-aplikasi ini menggugat keselamatan dan keamanan negara. Aplikasi yang diharamkan ini dikatakan mencuri data-data pengguna, sama sekali membuatkan kerajaan India mengambil langkah drastik untuk mengharamkan aplikasi ini daripada diakses di India.
Hasilnya, aplikasi yang diharamkan seperti TikTok dan PUBG Mobile tidak dapat diakses di gedung aplikasi Play Store mahupun App Store.
Terbaru, PUBG Mobile bakal hadir semula ke India, namun bukan dengan penerbit dari Tencent yang berpengkalan di China. Sebaliknya diterbitkan oleh Krafton, yang merupakan penerbit permainan video dari Korea Selatan.
PUBG Mobile juga bakal dijenamakan semula menjadi nama Battlegrounds Mobile India, yang merupakan permainan video yang spesifik untuk negara India sahaja. Media sosial PUBG Mobile India juga bakal dijenamakan semula kepada Battlegrounds Mobile India. Kesemua hantaran di media sosial PUBG Mobile India juga turut dipadam, menunjukkan permainan video ini dimulakan semula secara keseluruhan baik dari segi permainan video mahupun media sosial.
Kemungkinan Battlegrounds Mobile India akan sedia dimainkan menjelang Mei ataupun Jun. Permainan video ini hanya boleh dimainkan di India. Penduduk Malaysia boleh main PUBG Mobile yang biasa.