Sejak kebelakangan ini, pengeluar-pengeluar fon dari China seperti OPPO, vivo. dan Xiaomi giat memperkenal ciri baru dalam sistem fon mereka, iaitu RAM maya atau lebih dikenali sebagai ‘virtual RAM’. RAM maya ini adalah RAM yang ditambah menggunakan storan dalaman. Storan dalaman ini ‘meminjamkan’ sejumlah memori untuk dijadikan RAM maya. Oleh itu, sejumlah storan dalaman akan berkurangan kerana telah dipinjamkan untuk menjadi RAM maya.
Proses ini dapat dijalankan dengan kemaskini sistem operasi yang membenarkan sistem di dalam fon untuk mengubah storan dalaman menjadi RAM. Terbaru, realme 8 dan realme 8 Pro turut menerima kemaskini terbaru untuk membenarkan fungsi RAM maya yang digelar Dynamic RAM Expansion (DRE) ini berfungsi. Pengguna boleh memilih jumlah RAM maya dengan pilihan 3GB, 5GB, atau 7GB.
Kemaskini terbaru untuk realme 8 ini termasuk fungsi DRE, menambahbaik kestabilan sistem, kemaskini tampalan sekuriti Julai 2021, dan beberapa kemaskini untuk menambahbaik fungsi di dalam fon.
Adakah fungsi DRE ini gimik? Gimik atau tidak, bergantung kepada cara penggunaan fon. Sekiranya anda menggunakan banyak aplikasi yang berjalan dalam satu-satu masa, fungsi ini pasti amat berguna buat anda. Kerana fungsi ini dapat mengelakkan fon sentiasa crashing akibat RAM telah digunakan sepenuhnya. Fungsi ini turut berguna sekiranya diberikan kepada fon yang mempunyai jumlah RAM yang kurang daripada 6GB.
Apa pun, iPhone mungkin tidak memerlukan fungsi seperti DRE ini kerana iPhone telah direka dengan pengurusan RAM yang lebih cekap dan mantap. Walaupun iPhone mempunyai jumlah RAM yang lebih rendah berbanding kebanyakan fon flagship dan kelas pertengahan Android, iPhone tetap mampu untuk menjalankan puluhan aplikasi dalam satu-satu masa tanpa membuatkan aplikasi itu crashing.