realme adalah salah sebuah anak syarikat BBK Electronics, yang merupakan gergasi teknologi di China. Di bawah BBK Electronics, terdapat beberapa anak syarikat lain seperti vivo, OnePlus, dan OPPO. realme merupakan bekas anak syarikat OPPO, yang kini berada di bawah BBK Electronics secara langsung, dan merupakan sebuah syarikat yang sangat agresif melancarkan peranti-peranti baru saban waktu.
realme terkenal dengan segmen peranti mampu milik, dan tidak kurang juga peranti flagship mereka yang juga mampu dibeli rakyat marhaen. Selain itu, realme je giat melancarkan peranti IoT (internet of things), yang mana peranti ini disepadukan dengan perisian pintar dan disambungkan terus ke internet. Contohnya jam tangan pintar dan gelang tangan pintar.
Terbaru, telah tertiris gambar komputer riba dan tablet yang tertulis penjenamaan realme di situ. Menunjukkan bahawa realme bakal melancarkan peranti terbaru dengan segmen terbaru mereka, iaitu komputer riba yang mungkin bakal dipanggil sebagai realme Book, dan mungkin juga realme Tab. Jelas di sini, realme semakin giat dan agresif dalam memburu jumlah pegangan saham di dunia, dan sama sekali memberikan persaingan sengit terhadap gergasi dari Korea Selatan, iaitu Samsung.
Sekiranya realme benar-benar melancarkan segmen baru ini, perkara ini pasti menguntungkan pengguna. Lebih banyak pilihan boleh dibuat, dan kita dapat menjangkakan realme mungkin menawarkan komputer riba dan tablet dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing-pesaing mereka.
Sehingga kini belum ada tarikh pelancaran dan pengumuman rasmi tentang komputer riba dan tablet realme ini. Sebaliknya hanya khabar angin dan gambar yang tertiris. Namun, apabila gambar sudah tertiris, pelancaran produk baru dijangka sedang menghampiri waktunya. Sama-sama kita nantikan.