realme GT Neo3 dilancarkan pada Mac lalu dengan fon yang berstatus pertengahan-premium, atas faktor ciri-ciri separa flagship yang ditawarkan oleh realme. Fon ini dikuasakan oleh cip pemproses MediaTek Dimensity 8100 yang memberikan kuasa optimum bagi kelasnya. Tidak lupa juga, cip pemproses ini menyokong rangkaian 5G, dan fon ini turut dilengkapi dengan sambungan rangkaian 5G. Memori yang ditawarkan pula adalah RAM dari 6GB sehingga 12GB, dan storan dalaman sebesar 128GB hingga 256GB. Bateri yang dimuatkan untuk fon ini adalah sebesar 5000mAh, dan dipenuhkan menggunakan pengecasan pantas SuperVOOC 80W atau SuperVOOC 150W.
Tidak cukup dengan itu, realme baru sahaja melancarkan realme GT Neo3 edisi Naruto beberapa hari lalu, khusus untuk peminat anime Naruto. Sebelum ini juga, realme kerap melancarkan fon edisi istimewa bagi tujuan pemasaran seperti realme 9 Pro+ edisi Free Fire.
realme GT Neo3 edisi Naruto ini mengetengahkan tema Naruto dari kotak hinggalah ke perisiannya. Fon ini disertakan dengan ‘scroll box’ istimewa untuk menyimpan fon ini, dan kerangka pelindung belakang yang bertemakan Naruto. Bukan itu sahaja, realme GT Neo3 edisi Naruto ini turut memaparkan latar belakang, ikon, efek bunyi, dan efek pengecasan bertemakan anime Naruto ini.
Ini adalah langkah bijak daripada realme yang terus bekerjasama dengan jenama-jenama lain untuk mengukuhkan kedudukan mereka di dalam arena telefon pintar ini. Langkah kreatif dan bijak harus dilaksanakan, atau jenama mereka bakal tenggelam di dalam arus persaingan.
Fon ini dijual di pasaran China dengan tanda harga CNY 2799 dengan spesifikasi 12GB RAM + 256GB storan dalaman. Namun, penjualan model ini untuk pasaran tempatan masih menjadi teka-teki, tambahan pula realme GT Neo3 versi biasa pun masih belum dijual di Malaysia.