OPPO adalah pelopor kepada teknologi pengecasan pantas sejak beberapa tahun lepas. OPPO VOOC adalah protokol pengecasan pantas 20W yang mula diperkenal pada tahun 2014. Pada zaman ini, kebanyakan fon hanya menggunakan protokol pengecasan 10W atau 15W sahaja. Maka, kuasa pengecasan setinggi 20W sudah boleh dianggap menakjubkan pada zaman tersebut.
OPPO juga sering menaiktaraf teknologi pengecasan pantas mereka dari 20W ke 30W, 80W, dan 150W. Terbaru, pengecasan pantas yang diberi nama OPPO SuperVOOC sudah pun menginjak kepada kuasa pengecasan mencapai 240W. Secara elektrikal, pengecas ini menyokong 20V/12A dan 10V/24A.
Disebabkan OPPO dan realme berada di bawah satu bumbung yang sama, iaitu di bawah syarikat BBK Electronics, kedua-dua syarikat ini berkongsi teknologi yang dibangunkan. realme telah mengesahkan realme GT Neo 5 adalah peranti pertama yang akan menggunakan teknologi pengecasan pantas 240W ini. Sebelum ini, realme GT Neo 3 yang dimuatkan dengan bateri sebesar 4500mAh menyokong SuperVOOC 150W, yang mana bateri fon ini dapat dipenuhkan dari 0% hingga 100% hanya dalam 16 minit sahaja.
Namun, masih belum ada maklumat jitu tentang spesifikasi realme GT Neo 5, kapasiti bateri, dan masa yang diambil untuk memenuhkan bateri fon ini, memandankan fon ini masih belum lagi dilancarkan. Apa yang pasti, nombor “240W” pasti memberikan perubahan dan impak yang signifikan dalam memotong masa untuk memenuhkan bateri.