XPERT GADGET

Red Magic 7: ‘Gaming Phone’ yang Hadir dengan Sistem Penyejuk yang Lengkap

Share this :

Red Magic adalah jenama di bawah nubia, yang memfokuskan kepada ‘gaming phone’. Jenama ini mula menjual peranti mereka sejak 2018, dan pada tahun ini, fon terbaru mereka iaitu Red Magic 7 telah pun hadir dengan spesifikasi terbaru dan beberapa penambahbaikan.

Pada tahun ini, Red Magic 7 dikuasakan dengan cip pemproses paling berkuasa daripada Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Gen1 bagi menjamin prestasi dan grafik permainan video yang lebih mantap. Bagi memenuhi kriteria gaming phone, Red Magic 7 turut dilengkapi dengan butang fizikal pada sisi fon ini bagi tujuan untuk memudahkan permainan video dimainkan. Selain itu, fon ini turut dimuatkan dengan bicu audio 3.5mm yang sudah tidak kelihatan pada kebanyakan fon pada hari ini. Fon ini dihidupkan dengan bateri berkapasiti 4500mAh yang dipadankan dengan teknologi pengecasan pantas 65W. Manakala model yang dijual di China pula dilengkapkan dengan pengecasan pantas 120W.

Fon ini hadir dengan skrin beresolusi FHD+ bersaiz 6.8 inci. Apa yang istimewa dengan skrin Red Magic 7 ini adalah, skrin fon ini mempunyai kadar segar semula (refresh rate) yang lebih tinggi berbanding peranti flagship lain. Kebiasannya, peranti flagship menggunakan skrin 120Hz, namun Red Magic 7 mengambil pendekatan untuk memasang skrin OLED dengan kadar segar semula setinggi 165Hz.

Bagi menjadikan fon ini tidak menimbulkan masalah akibat pemasan kerana bermain permainan video, Red Magic 7 turut dimuatkan dengan sistem penyejukan yang serba lengkap bagi menyingkir haba, kerana haba yang terhasil dan terkumpul di dalam fon bukan sahaja boleh merendahkan prestasi sesebuah fon, malah boleh merosakkan fon dalam jangka masa yang panjang.

Terdapat kipas terbina di dalam fon ini bagi menyejukkan cip pemproses yang bekerja keras. Sistem penyejukan ICE 8.0 yang melibatkan kebuk wap dan lapisan grafit turut dipasang bersama, yang mana Red Magic menyatakan sistem penyejukan ini mampu menyingkir haba 400 kali lebih berkesan berbanding Red Magic 6.

Apa pun, rekaan fon ini kelihatan agak radikal dan ekstrem, yang memungkinkan sesetengah pihak tidak berminat untuk mendapatkannya.

Share this :

Leave a Comment

Your email address will not be published.