Satu ketika dahulu, OnePlus pernah popular dengan OnePlus One yang digelar sebagai ‘flagship killer‘, kerana fon ini menawarkan spesifikasi yang amat mantap dengan penawaran harga yang cukup istimewa. Setahun kemudian, OnePlus 2 hadir pula dengan penawaran harga yang mampu milik dan spesifikasi yang ditawarkan juga amat menggiurkan peminat gajet. Namun, di sebalik tanda harga yang murah itu, ada sesuatu yang ‘disorokkan’, iaitu terdapat beberapa kompromi baik dari segi kamera, rekaan, dan juga pengecasan pantas.
OnePlus 3 dilancarkan pada awal 2016 sebagai fon pertama yang dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas Dash Charge yang berkuasa 20W. Hakikatnya, Dash Charge adalah teknologi ‘pinjaman’ daripada OPPO VOOC, yang mana OPPO dan OnePlus adalah 2 anak syarikat yang berada di bawah bumbung BBK Electronics. OnePlus 3T yang dilancarkan pada Jun 2016 pula tidak mempunyai sebarang perubahan spesifikasi yang ketara, dan masih menggunakan teknologi pengecasan pantas Dash Charge ini.
Kemudian, OnePlus 5, OnePlus 5T, dan OnePlus 6 hadir bersilih ganti. Teknologi Dash Charge ini masih dikekalkan oleh OnePlus. Bermaksud, Dash Charge yang diperkenal pada 2016 kekal sehingga 2018. Selepas OnePlus 6T dilancarkan, OnePlus berhadapan dengan isu harta intelek apabila pihak Bragi menuntut OnePlus untuk menggugurkan penjenamaan ‘Dash’, kerana Bragi telah mendaftar jenama Bragi Dash. Hal ini memaksa OnePlus untuk hanya menggunakan istilah ‘fast charge’ sahaja, dan tiada lagi logo ‘Dash Charge’ pada palam pengecas fon OnePlus 6T.
Pada Disember 2018, OnePlus melancarkan produk pertama hasil kerjasama dengan McLaren, iaitu OnePlus 6T McLaren. Fon ini bukan sahaja mempunyai keistimewaan dari segi rekaan dan penjenamaan, malah OnePlus 6T McLaren turut dimuatkan dengan teknologi pengecasan pantas Warp Charge 30. Warp Charge 30 ini mempunyai kuasa pengecasan 30W, yang menggunakan palam pengecas USB-A yang disambung menggunakan kabel USB-C.
Warp Charge ini turut digunakan pada fon-fon berikutnya seperti OnePlus 7, OnePlus 7T, OnePlus 7T Pro, OnePlus 8, dan OnePlus 8 Pro. Manakala OnePlus 8T pula sedikit berbeza, apabila OnePlus 8T menggunakan teknologi Warp Charge 65W yang menggunakan palam pengecas USB-C. Siri OnePlus 9 turut menggunakan sistem pengecasan Warp Charge 65W, namun tidak lagi menggunakan kabel USB-C, sebaliknya telah ‘berpatah balik’ kepada palam pengecas USB-A.
OnePlus 10 Pro pula banyak perbezaanya. Model ini kelihatan berbeza kerana sudah mula kehilangan identiti OnePlus itu sendiri. Jika dahulunya OnePlus terkenal dengan Dash Charge dan Warp Charge, OnePlus 10 Pro mula menggunakan penjenamaan daripada OPPO, iaitu SuperVOOC. SuperVOOC pada OnePlus 10 Pro ini memberikan kuasa pengecasan berwayar setinggi 80W. Tidak lupa juga, OnePlus 10 Pro juga turut menyokong teknologi pengecasan pantas tanpa wayar AirVOOC 50W. Tidak dilupakan juga, OnePlus 10R dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas SuperVOOC 150W. Setakat ini, inilah teknologi pengecasan pantas paling esktrem yang dimuatkan di dalam mana-mana fon OnePlus.