ASUS ROG Phone adalah telefon pintar Android pertama yang hadir dengan konsep ‘gaming phone’. Buat julung kalinya, ASUS ROG Phone mengejutkan dunia telefon pintar pada tahun 2018. ASUS yang sememangnya mempunyai asas-asas dalam menghasilkan PC yang memfokuskan kepada permainan video, telah menyepadukan asas yang mereka ada di dalam sebuah telefon pintar.
Tahun bersilih ganti, ASUS ROG Phone generasi baharu turut dilancarkan setiap tahun bagi memenuhi keperluan para penggemar ‘mobile gaming’, sejajar dengan evolusi perkakasan dalaman telefon pintar. ASUS ROG Phone telah dibangunkan untuk beberapa generasi termasuk ASUS ROG Phone II, ROG Phone 3, ROG Phone 5, dan tahun ini ROG Phone 6 telah dilancarkan pada Julai 2022.
Sedar atau pun tidak, kesemua generasi ASUS ROG Phone dari generasi pertama sehingga yang terkini, kesemuanya menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon. Ini adalah kerana cip pemproses Qualcomm Snapdragon ini mampu memberikan segalanya untuk ‘mobile gaming’ termasuklah dari segi grafik, prestasi, dan kecekapan penggunaan bateri.
Namun, itu tidaklah bermaksud ASUS tidak akan menggunakan cip pemproses daripada jenama lain. Menurut ASUS di laman Twitter milik mereka, ASUS akan melancarkan satu lagi versi daripada siri ASUS ROG Phone 6, iaitu ROG Phone 6D Ultimate pada 19 September ini. ROG Phone 6D Ultimate ini dikuasakan oleh cip pemproses MediaTek Dimensity 9000+. Cip pemproses ini adalah sebuah cip pemproses berkuasa tinggi yang mampu memberikan grafik yang amat cantik bagi memenuhi keperluan semasa bermain permainan video di telefon pintar. ROG Phone 6D Ultimate ini berkemungkinan akan mempunya persamaan dengan ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro. Persamaan tersebut mungkin dari segi rekaannya yang salin tak tumpah atau cuma perbezaan yang sedikit, kapasiti bateri, jumlah RAM, dan sebagainya.
Menurut MediaTek, Dimensity 9000+ adalah cip pemproses paling pantas yang pernah dicipta oleh mereka. Cip pemproses ini dibina berasaskan saiz 4nm yang mampu menguruskan bateri dengan lebih cekap. Teknologi MediaTek HyperEngine 5.0 yang terkandung di dalam cip pemproses ini berupaya untuk menghasilkan pengalaman ‘mobile gaming’ yang lebih mantap daripada biasa.