Pengeluar-pengeluar fon dari China kebanyakannya sudah lama menggunakan pengecas pantas 40W ke atas. Samsung sahaja yang lalai dan masih menggunakan pengecas pantas 25W untuk peranti mereka. Fon-fon seperti realme sudah pun menggunakan pengecas pantas SuperVOOC 65W sejak 2019, Huawei sudah menggunakan pengecas pantas 40W menerusi Huawei P30 Pro pada awal 2019 lagi.
Samsung juga pernah mengeluarkan pengecas pantas Samsung Super Fast Charging 45W, namun terhad untuk 2 peranti sahaja, iaitu Samsung Galaxy Note10+ dan Galaxy S20 Ultra. Selebihnya, semua fon flagship Samsung hanya menggunakan pengecas pantas 25W yang dikatakan sudah ketinggalan zaman, dan memenuhkan bateri dengan agak lambat. Alasan Samsung adalah pengecas 25W tersebut mampu untuk menjaga kesihatan bateri, sama sekali memanjangkan hayat bateri tersebut.
Pemilik akaun Twitter Roland Quandt telah memberikan maklumat awal bahawa Galaxy S22 Ultra akan menggunakan pengecas pantas 45W yang berasaskan output USB-C. Namun begitu, pengecas pantas 45W tersebut akan dijual berasingan seperti biasa, dan tidak disertakan bersama Galaxy S22 Ultra di dalam kotak, sama seperti yang berlaku pada siri Galaxy S21. Walhal, sebelum ini Samsung pernah menyindir Apple kerana tidak menyertakan palam pengecas bersama iPhone.
Pengecas pantas ini tidaklah selaju Mi Turbo Charge 120W atau SuperVOOC 80W, namun sedikit-sebanyak mampu memenuhkan bateri dengan jauh lebih pantas berbanding pengecas 25W yang sudah tidak lagi relevan. Kuasa pengecas (wattage) yang tidak melampau untuk memenuhkan bateri juga mampu untuk memanjangkan hayat bateri sesuatu fon, yang mana pengecas seperti ini tidak menghasilkan haba yang melampau. Haba melampau yang terhasil di dalam bateri dalam keadaan yang kerap boleh menyusutkan kapasiti bateri, dan boleh juga merosakkan bateri dengan lebih cepat.
Apa pun, khabar angin ini hanya dapat disahihkan pada pelancaran rasmi Galaxy S22 Ultra yang dijangka akan dilakukan pada Februari kelak.