Selain daripada Sony yang terkenal dengan penghasilan modul kamera Sony IMX, Samsung juga merupakan salah sebuah syarikat terbesar yang membekalkan sensor kamera kepada banyak jenama telefon pintar hari ini. Jika Sony ada Sony IMX, Samsung pula ada Samsung ISOCELL. Antara jenama yang mendapatkan bekalan sensor Samsung ISOCELL adalah Xiaomi, ZTE, MEIZU, Motorola, dan banyak lagi jenama lain di luar sana. Pendek kata, banyak model bergantung kepada bekalan kamera keluaran Samsung ini.
Terbaru, Samsung telah mengeluarkan sensor ISOCELL terbaru, yang dipanggil ISOCELL JN1. Sensor keluaran syarikat dari Korea Selatan ini mempertaruh saiz yang lebih kecil jika dibandingkan dengan sensor yang dikeluarkan oleh Sony. Dari segi ukuran, ISOCELL JN1 ini hanya bersaiz 1/2.76″, dan saiz yang kecil ini dapat mengurangkan bonjolan kamera sebanyak 10%. Apabila saiz dapat dikurangkan sebanyak 10%, maka sensor ini sesuai untuk dimuatkan pada bahagian kamera swafoto. Sensor ini turut sesuai dijadikan sebagai kamera telefoto atau kamera ultra-lebar.
Fon yang menggunakan sensor ISOCELL JN1 ini dapat mengurangkan risiko untuk lensa kamera daripada calar, retak, dan pecah dek kecilnya saiz sensor ini dan bonjolan kamera yang menjengkelkan itu dapat dikurangkan sebanyak 10%. Sehingga kini, masih menjadi teka-teki fon apakah yang menjadi fon pertama untuk menggunakan sensor ISOCELL JN1 ini.
Dari segi kemampuan gambar, ISOCELL JN1 ini meningkatkan sensitiviti terhadap cahaya sebanyak 16% berbanding generasi sebelumnya. Maka, imej dalam keadaan malap atau kurang cahaya akan menjadi lebih baik. Selain itu, sensor ini berkemampuan untuk merakam video 4K 60fps, atau 1080p 120fps.