Apa sahaja yang dikeluarkan oleh Apple, kebiasannya produk tersebut akan membawa impak terhadap jenama lain. Apple iMac misalnya, sebuah komputer Macintosh dengan rekaan serba baharu dan moden. Warna-warna yang ditawarkan oleh iMac ini juga sangat unik dan mengikat mata yang memandang. Oleh yang demikian, Samsung mengambil inspirasi, atau bahasa kasarnya ‘meniru’ iMac, dan menjadikan monitor Samsung M8 sebagai sebuah produk yang mirip dengan iMac.
Dari segi warna yang ditawarkan, warna Samsung M8 ini amat mirip dengan penawaran warna yang ditawarkan pada iMac yang menawarkan warna-warna pastel. Dari segi rekaan juga, Samsung M8 dilihat mirip dengan iMac, dengan ‘stand’ yang hampir sama rekaannya. Namun, perbezaan ketara dilihat pada bingkai atau bezel bawah. Bezel iMac lebih luas, manakala Samsung M8 lebih nipis dan kelihatan lebih anggun.
Dari segi ciri, Samsung M8 menawarkan beberapa ciri menarik. Antaranya adalah webcam terbina di dalam monitor ini. Webcam ini juga mempunyai fungsi istimewa seperti penjejakan wajah (face tracking) dan fungsi auto-zoom. Monitor ini juga boleh menjalankan aplikasi penstriman seperti Apple TV Plus, Netflix, Disney Plus, dan sebagainya. Selain itu, monitor terbaru keluaran syarikat dari Korea Selatan ini juga boleh dikawal menggunakan suara menerusi pembantu peribadi maya seperti Google Assistant, Bixby, dan Alexa.
Monitor Samsung M8 ini mempunyai resolusi 4K. Jika dibandingkan dengan Mac Studio keluaran terbaru daripada Apple, Mac Studio dilengkapi dengan paparan 5K. Manakala iMac pula mempunyai paparan 4.5K. Dari segi ukuran, Samsung M8 mempunyai ukuran sebesar 32″, yang mana saiz ini sudah mencukupi untuk membuat kerja-kerja pejabat, suntingan gambar dan video, dan juga amat sesuai digunakan untuk menonton video.
Buat masa ini, Samsung masih lagi belum menyatakan tarikh jualan monitor ini. Harga jualan monitor ini adalah $700, bersamaan dengan RM2957.50 menurut kadar tukaran asing semasa. Dan harga jualan di Malaysia juga belum didedahkan.