Pengguna fon Samsung model paling baharu pastinya rugi sekiranya tidak memanfaatkan fungsi NFC yang dimuatkan di dalam fon mereka. Melalui teknologi NFC, NFC akan disepadukan dengan aplikasi Samsung Pay, dan aplikasi Samsung Pay pula disepadukan dengan kad bank yang mempunyai fungsi Pay Wave. Maka, pembayaran tanpa tunai dapat dilakukan.
Dengan Samsung Pay, pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan kad bank untuk di-‘tap’ pada terminal pembayaran di kedai-kedai. Hanya keluarkan fon Samsung, imbas cap jari, dan ‘tap’ pada terminal pembayaran. Transaksi pembayaran akan berlaku dalam sekelip mata, dengan jumlah yang tepat. Maka, tidak perlu risau dengan harga 5 sen yang terpapar pada tanda harga.
Bukan itu sahaja, Samsung Pay juga boleh disepadukan dengan jam pintar Samsung seperti Samsung Watch. Kaedahnya sama sahaja, iaitu hanya perlu ‘tap’ jam pintar tersebut pada terminal pembayaran.
Mungkin ada yang gusar tentang keselamatan Samsung Pay. Tidak perlu risau, kerana Samsung Pay memerlukan imbasan cap jari pengguna fon untuk melakukan transaksi. Jadi, Samsung Pay sebenarnya lebih selamat berbanding kad bank yang mempunyai ciri Pay Wave, yang mana kad bank seperti ini tidak memerlukan apa-apa pengesahan keselamatan.
Bukan kad bank sahaja yang boleh disepadukan dengan Samsung Pay. Kad kesetiaan (loyalty card) seperti B-Infinite, Bonus Link, dan lain-lain turut boleh disepadukan dengan Samsung Pay. Sekiranya kita mengisi minyak di stesen minyak Shell, gunakan Samsung Pay untuk membayar minyak, dan imbas nombor kod Bonus Link pada Samsung Pay, dan mata ganjaran diberikan terus pada akaun Bonus Link kita.
Selain daripada kad kesetiaan, Samsung Pay turut menawarkan mata ganjaran bagi setiap transaksi yang dilakukan dengan Samsung Pay. Mata ganjaran ini boleh ditebus setelah mata ganjaran tersebut mencukupi. Antara barang yang boleh ditebus adalah isian Touch n Go, minyak petrol Shell, baucar RM50 Giant, dan sebagainya.