Bagi peminat gajet di Malaysia khususnya, jika disebut “fon Jepun”, pasti kita akan lebih ingat akan fon Sony, kerana jenama Sony sudah sebati dengan pengguna gajet di Malaysia. Hampir tiada jenama Jepun lain yang memenangi peminat gajet di Malaysia. Namun, jangan kita ingat tiada lagi jenama Jepun yang menghasilkan fon yang bagus. Antara jenama yang kurang terkenal namun mampu menghasilkan fon yang bagus adalah jenama Sharp. Jenama dari negara matahari terbit ini dahulunya lebih terkenal dalam penghasilan TV, dan kini telah melancarkan beberapa model fon.
Sharp Aquos R6 tidak kurang hebatnya. Fon ini bukan fon biasa-biasa, sebaliknya sarat dengan spesifikasi menarik untuk dimiliki. Dan fon ini dikategorikan sebagai fon flagship, kerana fon ini menawarkan spesifikasi paling tinggi dengan cip pemproses Snapdragon 888. Dengan cip Snapdragon 888, Sharp Aquos R6 dapat memberikan prestasi yang lebih padu, pemprosesan imej yang lebih pantas dan mantap, serta rangkaian 5G yang sedia ada.

Bukan itu sahaja, malah fon ini turut memfokuskan kepada kemampuan kameranya. Sebelum ini Huawei begitu sinonim dengan Leica kerana kerjasama 2 jenama ini. Kini, Sharp sedang bekejersama dengan Leica buat julung kalinya untuk menalakan kamera Sharq Aquos ini pada bahagian perisian kamera. Sensor kamera Sharp Aquos adalah sebesar 1 inci, yang memberikan kelebihan untuk menyerap cahaya, di samping dimuatkan dengan kamera 20.2 mega piksel. Lebih mengujakan, bukaan aperture pada kamera fon ini adalah sebesar f/1.9. Hasil gabungan sensor sebesar 1 inci dengan penalaan Leica diyakini akan memberikan impak yang mantap bagi penghasilan gambar yang lebih mengujakan.
Selain itu, Sharp Aquos R6 juga mempunyai skrin Pro IGZO OLED yang memberikan paparan yang lebih cerah dan lebih cekap menggunakan tenaga elektrik. Bercakap tentang kecerahan skrin, skrin Aquos R6 ini mampu memberikan kecerahan setinggi 2000 nits — satu tahap kecerahan yang amat tinggi dan amat cemerlang di bawah cahaya matahari. Paparan Aquos R6 ini turut mendapat sentuhan DOLBY Vision, untuk memberikan pengalaman yang lebih jitu dan warna yang lebih tepat.
Di samping itu, fon ini turut dimuatkan dengan teknologi pengimbas cap jari daripada Qualcomm, iaitu Qualcomm 3D Sonic Max. Teknologi ini memberikan ruang pengimbasan cap jari yang lebih luas pada bahagian skrin, dan pengimbas cap jari ditempatkan di bawah skrin Pro IGZO OLED ini.
Sharp Aquos R6 akan mula dipasarkan di pasaran Jepun pada Jun 2021, dan tidak dapat dipastikan sama ada fon ini akan dijual di pasaran tempatan atau sebaliknya.