Suku tahun pertama, kebiasaannya Samsung akan melancarkan peranti ‘flagship’ siri Galaxy S mereka. Tahun ini, siri Galaxy S23 bakal dilancarkan sebagai pembuka tirai bagi menggantikan siri Galaxy S22.
Menurut pemilik akaun Twitter Ice Universe beberapa bulan lalu, Samsung dikatakan akan melancarkan siri Galaxy S23 pada bulan Februari 2023. Dan baru-baru ini, Samsung Colombia dilihat mempamerkan poster pelancarkan peranti terbaru mereka yang dipercayai Galaxy S23 Ultra.
Seperti yang tertiris sebelum ini, Galaxy S23 Ultra dilihat hampir-hampir mirip dengan Galaxy S22 Ultra dari segi rupa parasnya. Sangat sedikit perubahan yang berlaku, iaitu pada kenipisan ‘bezel’ pada skrin. Selebihnya, susun atur kamera belakang juga dilihat salin tak tumpah dengan susun atur kamera belakang Galaxy S22 Ultra.
Antara perubahan yang pasti berlaku adalah penggunaan cip pemproses yang berkemungkinan besar Samsung akan menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen2.
Namun, ada kemungkinan juga Samsung masih lagi menggunakan protokol pengecasan pantas Samsung Super Fast Charging 2.0 45W yang dilihat agak ketinggalan, kerana kebanyakan pengeluar fon dari China sudah pun menggunakan pengecasan pantas melebihi 60W.