Di sebalik dominasi jenama-jenama dari China, Sony yang merupakan jenama dari Jepun masih lagi mengeluarkan beberapa model telefon pintar, di sebalik banyak menghasilkan modul kamera untuk telefon pintar yang ada di pasaran hari ini.
Terbaru, Sony telah melancarkan peranti flagship untuk tahun 2023 — Sony Xperia 1 V, bagi menggantikan model sebelumnya, iaitu Sony Xperia 1 IV juga bakal hadir di pasaran tempatan tidak lama lagi. Namun sayangnya varian yang ditawarkan di pasaran tempatan hanyalah RAM 12GB dengan storan 256GB yang ditawarkan pada harga RM6399.
Sony Xperia 1 V dikuasakan oleh cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 yang menjanjikan prestasi yang optimum dan mantap untuk penggunaan berat.
Bateri sebesar 5000mAh dimuatkan di dalam fon ini dan dipadankan dengan hanya pengecasan pantas 30W sahaja, dan turut mempunyai ciri pengecasan tanpa wayar.
Antara perkara lain yang menarik adalah fon ini masih dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm, yang mana ciri ini telah pun hilang atas nama ‘kemodenan’ setelah trend membuang bicu audio ini dimulakan oleh Apple.
Spesifikasi utama Sony Xperia 1 V:
– Snapdragon 8 Gen 2
– Bateri 5000mAh
– RAM 12GB + ROM 256GB
– Skrin OLED 120Hz 6.5″
– Kamera utama 48MP, kamera telefoto 12MP, kamera sudut ultra-lebar 12MP
– Kamera swafoto 12MP
– Pengimbas cap jari di bahagian sisi